LONDON: Anak kepada seorang wanita warga Britain yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah India kerana membunuh suaminya, menegaskan dia tidak sabar untuk melihat ibunya dihukum demikian.
Ramandeep Kaur Mann didapati bersalah membunuh suaminya, Sukhjit Singh, 34, semasa percutian keluarga di India pada tahun 2016.
Lapor Daily Mail, Ramandeep, 38, dari Derby didapati mencampurkan ubat pelali dalam makanan Sukhjit sebelum bertindak mengelar leher mangsa ketika dia sedang tidur di katilnya.
Ramandeep bersama kekasihnya, Gurpreet Singh merancang untuk membunuh Sukhjit namun pembunuhan itu disaksikan oleh anak sulung mereka, Arjun yang ketika itu berusia sembilan tahun.
Arjun yang kini berusia 17 tahun merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes perbicaraan ibunya dan dikatakan memberikan keterangan mengerikan di mahkamah.
Remaja itu menceritakan bagaimana dia melihat ibunya menekap ayahnya dengan bantal sebelum kekasih wanita itu bertindak memukul kepala mangsa dengan tukul lalu mengelar lehernya.
“Tak ramai kanak-kanak pernah melihat ibu membunuh bapa dan kemudian tampil memberi keterangan di mahkamah. Bagaimana anda boleh meneruskan kehidupan selepas mengetahui perkara itu berlaku.
“Saya dan adik saya terpaksa menjadi tabah, malah kami berasa bangga dengan diri kerana akhirnya berjaya mendapat keadilan untuk bapa.
“Kami tidak menganggap wanita itu sebagai ibu lagi dan kami tidak mahu apa-apa kaitan dengannya,” kata Arjun.
Sementara itu, Arjun berkata dia mahu berada di India apabila ibunya menjalani hukuman gantung sampai mati.
“Situasi itu tidak membuatkan kami rasa takut malah ia akan memberikan banyak kepuasan dan kelegaan. Saya menantikan hari itu.
“Malah, saya mahu semua ahli keluarga saya berada di sana menyaksikan detik tersebut,” katanya.
Dilaporkan, Arjun berada di United Kingdom (UK) apabila hukuman mati ibunya diumumkan oleh hakim selepas perbicaraan diadakan di Mahkamah Daerah Shahjahan di Uttar Pradesh, India
Ramandeep dijatuhi hukuman mati kerana membunuh suaminya agar dia boleh mewarisi kira-kira 2 juta pound (RM11.5 juta) menerusi polisi insurans hayat Sukhjit.