LONDON: Kampung Baktawng yang terletak di Mizoram, timur laut India disifatkan paling unik kerana menempatkan sebuah kediaman keluarga terbesar di dunia.
Lapor Oddity Central, sekurang-kurangnya 199 ahli keluarga tinggal di bawah satu bumbung di sebuah bangunan bertingkat yang besar.
Pu Ziona merupakan ketua keluarga terbesar dunia itu dan dilaporkan mempunyai 38 isteri, 89 anak, dan 36 cucu.
Walaupun Ziona meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat komplikasi kesihatan yang disebabkan hipertensi dan diabetes pada tahun 2021, namun keluarganya masih terus tinggal di bawah bumbung sama di kompleks kediaman Ziona berhampiran bukit Baktawng.
Beberapa anak Ziona mempunyai isteri termasuk ada yang lebih daripada seorang, dan kini bilangan ahli keluarga berjumlah 199 orang.
Semua ahli keluarga itu berkumpul di ruang besar dua kali sehari untuk makan bersama.
Malah, mereka juga berkongsi segala-galanya, daripada kerja harian hingga ke makanan dan kewangan.
Meskipun kebanyakan ahli keluarga itu mahu meneruskan legasi Ziona namun situasi berubah untuk keluarga terbesar dunia itu.
“Saya bukan seperti bapa saya! Dia dipilih oleh Tuhan tetapi kami hanyalah manusia biasa dan tidak boleh mempunyai ramai isteri,” kata anak bongsu Ziona bernama Record.
Ketika ini, sebuah lagi rumah sedang dibina untuk keluarga besar itu.
Namun, ia masih menarik ramai pelancong ke kampung terpencil Baktawng.
Menurut laporan, Ziona mengetuai fahaman Kristian dikenali Chhuan Thar Kohhran dan ramai orang menganggapnya sebagai ‘manusia pilihan Tuhan’.
Oleh itu, dia tidak mendapat bantahan daripada ahli komuniti atau keluarganya sendiri setiap kali berkahwin lagi.
Malah, penduduk tempatan dengan senang hati mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang sangat dihormati itu.