1 bilion penduduk dunia berpindah secara rela atau paksa - WHO

Satu bilion penduduk berpindah secara rela atau paksa – WHO

PENDUDUK tinggal di pusat perlindungan di sekolah menengah Hasahisa akibat konflik di Sudan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Kira-kira satu bilion penduduk di seluruh dunia ketika ini meninggalkan kediaman masing-masing sama ada secara rela atau terpaksa.

Lapor Agensi Anadolu, perkara itu dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi laporan agenda penyelidikan global yang pertama kali diterbitkan, kelmarin.

Menurut WHO dalam kenyataan, agenda mengenai kesihatan, penghijrahan dan perpindahan itu bertujuan membimbing usaha penyelidikan bagi memahami dan menangani keperluan kesihatan migran, pelarian dan penduduk yang hilang tempat tinggal secara paksa.

Malah, agenda itu juga membentuk dasar dan amalan responsif di seluruh dunia.

“Pada masa ini, kira-kira satu bilion orang meninggalkan rumah mereka secara rela atau paksaan disebabkan pelbagai faktor seperti peperangan, konflik, ketidaksamaan pendapatan, peralihan ekonomi, urbanisasi dan perubahan iklim.

“Terdapat keperluan untuk membangunkan dasar berasaskan bukti bagi memastikan tiada mana-mana individu yang dipinggirkan.

“Bagaimanapun, terdapat kekurangan pengetahuan yang komprehensif mengenai perkara berkesan untuk menyokong kesihatan penduduk berpindah,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jurang pengetahuan sedemikian memberi kesan terhadap kesejahteraan orang ramai sekali gus memperlahankan kemajuan global ke arah perlindungan kesihatan sejagat dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Semasa proses perundingan agenda penyelidikan global, WHO memaklumkan lima tema kajian keutamaan dipersetujui yang memerlukan pelaburan lebih besar.

Tema itu antara lain cara meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan mencapai perlindungan kesihatan sejagat inklusif, tindakan untuk menjadikan persediaan kecemasan kesihatan lebih responsif, pemahaman lebih baik mengenai penentu kesihatan dan cara menanganinya serta kerjasama dalam penyelidikan.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi kenyataan menyifatkan agenda penyelidikan global itu sebagai langkah penting dalam usaha agensi itu untuk memacu dasar dan amalan berdasarkan bukti. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya