SYDNEY: Seorang wanita Australia menjadi individu pertama di dunia yang terselamat selepas dijangkiti patogen maut punca penyakit blackleg atau bakteria pemakan daging pada lembu dan biri-biri.
Kes itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Australia, memperincikan kejayaan rawatan terhadap patogen berkenaan selepas dua jangkitan yang diketahui pada manusia melibatkan pesakit di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun menyebabkan jangkitan teruk hingga membawa maut.
Pengarang utama artikel itu, Dr. Ria Ko yang juga pelatih lanjutan penyakit berjangkit di Hospital Prince of Wales Sydney berkata, seorang wanita berusia 48 tahun dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tahun lalu selepas mengalami sakit perut, cirit-birit, tanda-tanda renjatan dan demam.
Tetapi pemeriksaan mendapati berlaku kegagalan pelbagai organ termasuk hati dan buah pinggang dengan ujian kultur menunjukkan terdapat bakteria Clostridium chauvoei dalam darah pesakit.
Selepas meneroka sejarah pendedahan pesakit, Ko mendapati wanita itu sedang dalam proses berpindah rumah dan kerap menjalankan aktiviti berkebun untuk menanam semula tumbuhannya selain mempunyai calar pada lengan akibat cakaran kucing peliharaannya.
“Kami berpendapat bahawa titik masuk yang paling mungkin untuk patogen berbahaya ini adalah dari tanah yang tercemar, dengan Clostridium chauvoei memasuki aliran darahnya melalui kesan calar itu.
“Tidak banyak laporan perubatan mengenai cara merawat manusia yang dijangkiti bakteria itu. Tetapi ia terkenal di dunia veterinar sebagai punca utama penyakit pada lembu dan biri-biri yang menyebabkan keracunan darah dan gangren,” kata Ko.
Sepanjang minggu pertama rawatan, wanita itu membuat pemulihan yang agak pantas dengan fungsi hati dan buah pinggangnya bertambah baik selepas menerima antibiotik serta terapi oksigen hiperbarik.
Pesakit kemudian menjalani pembedahan akibat dinding ususnya dikesan berlubang dan dibenarkan keluar dari hospital selepas hampir tiga minggu menjalani rawatan.
Ketua Penyakit Berjangkit Universiti Monash, Profesor Anton Peleg berkata, rawatan yang berjaya boleh dilakukan melalui pendekatan pelbagai disiplin dan wanita itu sangat bernasib baik kerana terselamat daripada jangkitan maut itu.