VIENNA: Seorang wanita bertindak melemparkan wang tunai sebanyak 5,000 pound (RM28,152) ke arah seorang lelaki di landasan lapangan terbang.
Situasi itu berlaku selepas pasangan berkenaan dihalau keluar dari pesawat kerana wanita terbabit enggan membayar kos tiket penerbangan yang dinaik taraf.
Lapor Daily Mail, lelaki tersebut bersikap begitu agresif sehingga seorang lagi penumpang terpaksa campur tangan dan menghalangnya.
Beberapa penumpang mendakwa pasangan itu bertengkar sepanjang perjalanan selama lima jam dalam penerbangan Eva Air dari Heathrow ke Bangkok pada 30 September lalu.
Dakwa mereka, insiden itu memaksa juruterbang terpaksa berpatah balik dan menerbangkan pesawat dua setengah jam lagi ke Vienna agar pasangan itu boleh dihalau keluar.
Pasangan yang identiti tidak didedahkan itu kemudian dilihat bertengkar di landasan Lapangan Terbang Vienna.
“Wanita itu bertindak melemparkan segumpal wang tunai ke arah lelaki berkenaan. Wang kertas itu bertaburan di atas jalan.
“Lelaki itu kemudian dipaksa mengutip wang tunai berkenaan. Seluruh insiden itu dirakam oleh seorang penumpang,” jelas laporan.
Sementara itu, jurucakap Eva Air memaklumkan wanita itu enggan membayar harga tiket penerbangan selepas dinaik taraf dari kelas ekonomi kepada ekonomi premium.
Jelasnya, lelaki itu juga didapati berkelakuan tidak senonoh dan menghisap rokok elektronik bersebelahan kabin dapur pesawat.