BATON ROUGE: Seorang wanita mengakui dia gemar makan bedak bayi sehingga mampu menghabiskan sebotol jenama Johnson’s Baby Powder setiap hari.
Tabiat makan bedak bayi itu menyebabkan Dreka Martin sudah berbelanja hampir AS$4,000 (RM19,115) pada tahun ini.
Lapor Daily Mail, Dreka dari New Orleans berkata, ketika kecil dia hanya suka merasa bedak bayi itu selepas mandi.
Namun, lama-kelamaan, dia mendapati dirinya mula teringin untuk makan bedak tersebut kira-kira 10 tahun lalu.
Wanita berusia 27 tahun itu kini mengakui mampu makan sebotol bedak bayi Johnson’s Aloe & Vitamin E seberat 623 gram setiap hari.
Malah, dia mendakwa tidak boleh menghentikan tabiat tersebut sehingga sanggup menolak makanan biasa.
Katanya, dia gemar makan bedak bayi kerana teksturnya yang cair di dalam mulut selepas mengunyah selama 40 saat sebelum menelannya.
Menurut Dreka, dia sebelum ini pernah menahan ketagihan makan bedak bayi semasa hamil anak lelakinya yang kini berusia tiga tahun.
Tambah wanita itu, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan mahupun penghadaman selama pengambilan bedak bayi itu.
Dreka mendakwa menghidap penyakit Pika yang menyebabkannya ketagih memakan bahan bukan makanan seperti cat atau kapur yang tidak memberi nutrisi kepada badannya.