LONDON: Sepasukan penyelidik mendedahkan bulan adalah 40 juta tahun lebih tua berbanding disangkakan sebelum ini.
Lapor The Guardian, saintis membuat penemuan itu dengan mengkaji kristal dalam debu bulan yang dibawa kembali pada tahun 1972 sebagai sebahagian misi Apollo 17.
Kali terakhir manusia menjejakkan kaki di Bulan adalah menenerusi misi Apollo 17.
“Sungguh mengagumkan dapat membuktikan bahawa sampel batu kami miliki adalah bahagian bulan paling tua yang pernah ditemukan setakat ini.
“Ia adalah maklumat penting untuk banyak persoalan mengenai bumi.
“Apabila dapat tahu usia sesuatu bahan, anda boleh memahami lebih lanjut apa sudah berlaku padanya dalam sejarahnya,” kata pengarang utama kajian, Dr. Jennika Greer dari Universiti Glasgow.
Sebelum ini, beberapa kajian dilakukan pada sampel bahan lunar bersama dengan pemodelan mendapati bulan berusia kira-kira 4.42 bilion tahun.
Namun, kajian terbaharu terhadap kristal menunjukkan sistem bumi itu mungkin lebih tua.
Kini, para penyelidik menyatakan teknik analisis baru mengesahkan kristal itu sudah lama terbentuk.
Pendekatan dikenali sebagai tomografi penyelidikan atom, melibatkan penggunaan laser untuk menyejat atom daripada kristal yang sudah diasah halus membentuk `hujung nano’.
Jisim atom itu kemudian boleh dikesan, selain nisbah pelbagai jenis uranium dan atom plumbum yang dikenali sebagai isotop boleh diukur.
Hasilnya, kristal dan satelit bumi kelihatan berusia sekurang-kurangnya 4.46 bilion tahun.
Laporan kajian pasukan penyelidik itu diterbitkan dalam jurnal Geochemical Perspectives Letters.