LONDON: Pengusaha hotel dan pengendali pengangkutan bersiap sedia menghadapi serangan pijat ketika masalah pembiakan serangga di Paris mengancam untuk melanda seluruh United Kingdom (UK).
Sebuah rangkaian hotel utama di UK didakwa memeriksa dan bertanya tetamu mereka sama ada tiba dari Perancis semasa mendaftar masuk ke pusat penginapan itu.
Menurut seorang pekerja dari rangkaian hotel itu, Millennium Hotels dan Resorts sering bertanya pada tetamu baharu mereka sama ada mengembara dari Perancis.
“Setiap kali ketika melakukan daftar masuk tetamu, kami bertanya beberapa soalan kepada mereka termasuk sama ada datang dari Paris.
“Semua hotel berada di bawah Kumpulan Millennium melakukan perkara ini,” katanya.
Malah, jelasnya, bilik yang diinapi oleh para tetamu itu turut `dibersihkan’ oleh pekerja kawalan serangga perosak selepas mereka daftar keluar dari hotel.
Dilaporkan, Millennium Hotels dan Resorts mengendalikan sebanyak 18 hotel di UK.
Sementara itu, syarikat Air France yang mengendalikan kira-kira enam penerbangan sehari dari Paris ke London, memaklumkan pihaknya akan bertindak menggantung mana-mana penerbangan sekiranya pepijat dikesan di dalam pesawat.
Pengumuman itu dibuat selepas beberapa pakar kawalan serangga perosak memberi amaran bahawa pepijat tersebut mempunyai daya ketahanan terhadap racun serangga.
“Pekerja kawalan serangga perosak perlu menyembur lebih banyak untuk membunuh pepijat itu kerana ia terselamat dari semburan,” jelas jurucakap laman sesawang badbugs.fr, Nicolas Roux de Bezieux.
Serangan serangga penghisap darah itu mencetuskan kebimbangan di Paris, dengan rata-rata penduduk dan pelancong menggunakan laman media sosial untuk menyiarkan gambar pepijat berada di atas cadar hotel dan tempat duduk kereta api.
Dengan ribuan pengembara tiba setiap hari dari Perancis menaiki kereta api, pesawat dan feri, kebimbangan semakin meningkat bahawa serangan pepijat itu akan merebak cepat di UK.