ISTANBUL: Turkiye mengisytiharkan berkabung peringkat nasional selama tiga hari sebagai penghormatan kepada rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Zionis di Gaza.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perkabungan itu, kelmarin.
Menurut Erdogan, perkabungan nasional selama tiga hari itu diisytiharkan sebagai keperluan untuk menghormati ribuan syuhada yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah.
“Di Turkiye, kami merasakan penderitaan hebat saudara dan saudari Palestin di dalam hati kami,” katanya.
Sebelum ini, Mesir mengisytiharkan tiga hari berkabung kebangsaan bagi mangsa serangan udara Israel terhadap sebuah hospital di Gaza.
Gaza kini sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan dilaporkan sudah kehabisan.
Sekurang-kurangnya hampir 500 orang terbunuh dan 342 yang lain cedera dalam serangan udara Israel terhadap Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza pada Selasa lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Israel, bagaimanapun, menafikan bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu.
Konflik bermula pada 7 Oktober apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut termasuk pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut serta udara.