PARIS: Perancis terpaksa menutup tujuh sekolah berikutan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung masalah pembiakan serangga pijat, menurut Kementerian Pendidikan Perancis.
Menterinya, Gabriel Attal berkata, serangga penghisap darah itu dikesan pada pelbagai peringkat dengan membabitkan sekurang-kurangnya 17 institusi ketika ini, selain tujuh terpaksa ditutup.
“Kita mempunyai hampir 60,000 institusi dan kita bercakap mengenai beberapa puluh saja di sini, namun memang benar bahawa kes semakin meningkat. Tindak balas segera diperlukan supaya kami boleh memastikan institusi berkenaan dibersihkan dalam tempoh 24 jam,” kata Attal.
Pada minggu ini, kerajaan Perancis sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi meneliti lonjakan kes serangan pepijat yang dilaporkan, ketika negara ini sedang menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi dan membuat persiapan untuk penganjuran temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan kepada AFP, kelmarin, memaklumkan lima sekolah dengan sejumlah 1,500 pelajar terpaksa ditutup.
Sebuah perpustakaan perbandaran di bandar Amiens dibuka semula semalam, selepas ditutup selama beberapa hari berikutan pepijat dikesan menyerang ruang bacaan awam, kata Datuk Bandar, Brigitte Foure.
Satu per 10 daripada seluruh isi rumah Perancis dipercayai mengalami masalah serangan pepijat sejak beberapa tahun lalu, dengan lazimnya memerlukan bantuan khidmat operasi kawalan serangga perosak yang menelan kos hingga mencecah beberapa ratus euro dan biasanya ia perlu diulangi.
Sebelum ini, serangga penghisap darah itu turut dikesan di metro Paris, kereta api berkelajuan tinggi dan Lapangan Terbang Charles De Gaulle di Paris. – AFP