MOSCOW: Kremlin menolak dakwaan kononnya republik itu menerima bekalan senjata dari Korea Utara.
Malah, dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan bahawa Pyongyang menghantar bekalan senjata itu ke Russia.
“Mereka membuat dakwaan seperti ini hampir sepanjang masa tanpa mengemukakan bukti yang kukuh,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada agensi berita Russia.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan mendakwa penghantaran bekalan senjata dari Korea Utara.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Amerika Syarikat (AS) menyiarkan beberapa gambar dipercayai menunjukkan penghantaran senjata dari Pyongyang.
Bulan lalu, Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di Russia sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan negara Barat mengenai kemungkinan perjanjian senjata.
Jumaat lalu, White House memaklumkan Korea Utara sudah menghantar lebih 1,000 kontena peralatan ketenteraan dan amunisi ke Russia dalam beberapa minggu untuk digunakan di Ukraine.
Meskipun Russia menyatakan tiada perjanjian ditandatangani semasa lawatan Jong Un pada September lalu, Putin berkata, beliau melihat potensi dalam kerjasama bidang ketenteraan. – AFP