BANGKOK: Kerajaan Thailand akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada para pelancong dari India dan Taiwan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Srettha Thavisin ketika kerajaan berusaha memulihkan semula sektor pelancongan utama selepas dilanda pandemik Covid-19.
Para pengunjung dari India dan Taiwan boleh memasuki Thailand selama tempoh 30 hari di bawah percubaan enam bulan, yang akan bermula esok.
Sektor pelancongan Thailand menyumbang hampir 20 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun ia bergelut untuk bangkit semula sejak pandemik Covid-19.
“Kami akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada India dan Taiwan kerana ramai rakyat negara itu suka melancong ke Thailand,” kata Srettha selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Sehingga kini, pelancong dari India dan Taiwan terpaksa memohon visa semasa ketibaan selama 15 hari di pusat pemeriksaan imigresen dengan mengemukakan penyata bank dan bukti dokumen penginapan.
Langkah itu dibuat selepas kerajaan mewujudkan skim bebas visa yang serupa untuk pelancong China pada September lalu.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Chai Watcharong berkata, pihak berkuasa berharap agar skim itu akan menarik kira-kira 1.4 juta pelancong tambahan sekali gus menjana pendapatan sebanyak AS$1.5 bilion (RM7.14 bilion).
India menjadi pasaran sumber pelancongan keempat terbesar Thailand setakat tahun ini dengan kira-kira 1.2 juta orang masuk ke negara itu selepas Malaysia, China dan Korea Selatan. – AFP