GAZA: Tentera darat Israel mendakwa berada di Gaza selepas memasuki kawasan itu kelmarin namun dilaporkan keluar selepas beberapa jam dan tidak menembusi ke bahagian tengah wilayah itu.
Tentera Israel masuk ke Semenanjung Gaza dan meluaskan operasi darat di mana infantri, perisai dan unit jurutera serta artileri dengan tembakan berat mengambil bahagian.
“Pasukan berada di lapangan dan meneruskan pertempuran,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Laksamana Muda Daniel Hagari tanpa memberikan butiran lanjut.
Kata-kata Hagari mengesahkan operasi ketenteraan mengalami perkembangan yang ketara selepas apa yang sebelum ini disifatkan sebagai dua serbuan bersasar pada malam Rabu dan malam Khamis.
Namun kedua-dua serbuan itu menyaksikan tentera darat berundur selepas beberapa jam.
Menurut laporan CNN, sehingga kini tidak kelihatan seolah-olah sebarang serangan darat utama yang bertujuan untuk merampas dan memegang sejumlah besar wilayah itu masih dijalankan.
Dalam seruan baharu agar rakyat Gaza bergerak ke selatan, IDF hanya bercakap mengenai operasi yang akan berlaku.
IDF turut mendakwa menyerang 450 sasaran tentera milik Hamas di Semenanjung Gaza menggunakan pesawat perang sejak beberapa hari lalu.
Dalam siaran di laman X, IDF berkata sasaran termasuk ibu pejabat tentera, pos pemerhatian, dan kedudukan penembakan anti-kereta kebal dan mendakwa tentera daratnya turut terlibat dalam pertempuran itu.
Akaun Telegram Briged Izzedine al-Qassam turut melaporkan pertempuran bersenjata dengan tentera dan kenderaan Israel di barat laut wilayah itu.
Terdapat laporan serupa semalam, dari akaun Telegram yang sama tentang pertempuran di barat laut Gaza, dan BBC juga mengesahkan lokasi video yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan kenderaannya sangat dekat dengan barat laut Gaza, tetapi masih di Israel.
Sejak semalam akaun Telegram al-Qassam yang sama turut melaporkan pertempuran dengan tentera Israel di timur Gaza City.