GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat semalam mendedahkan yang pihaknya dimaklumkan oleh tentera Israel bahawa kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin di Gaza harus dipindahkan ke bahagian selatan kawasan itu dalam tempoh 24 jam akan datang, sekali gus dikhuatiri berkemungkinan petanda ambang pelancaran serangan darat yang dirancang oleh rejim Zionis.
Tentera rejim Zionis tidak memberi komen mengenai amaran itu, setakat ini, ketika Israel mengerahkan kereta kebalnya ke lokasi berhampiran sempadan Gaza sambil berterusan membedil Gaza dengan serangan udara.
“PBB menganggap mustahil untuk pergerakan seumpama itu berlaku tanpa akibat yang memusnahkan kemanusiaan.
“PBB merayu sungguh-sungguh agar sebarang arahan sedemikian, jika sah, dibatalkan bagi mengelakkan tragedi memang sedia ada kini berubah menjadi situasi malapetaka,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, arahan oleh tentera Israel itu turut meliputi semua kakitangan PBB dan mereka yang berlindung di kemudahan agensi antarabangsa berkenaan, termasuk sekolah, pusat kesihatan serta klinik. – REUTERS