LONDON: Kumpulan pencinta alam sekitar mengecam sebuah syarikat perkhidmatan jet peribadi yang menawarkan promosi aneh terbang bersama anjing peliharaan kepada golongan kaya menerusi penerbangan pertamanya dari Dubai ke London minggu ini.
Dengan harga 8,166 pound (RM46,771) untuk perjalanan sehala, pelanggan boleh duduk sambil memangku haiwan peliharaan mereka itu dari lapangan terbang antarabangsa Al Maktoum ke Farnborough dengan jet Gulfstream IV-SP.
Lapor The Guardian, syarikat K9 Jets yang dikendalikan oleh pasangan suami isteri dari Birmingham, sudah pun mengendalikan perkhidmatan ke New Jersey, Los Angeles, Frankfurt, Paris dan Lisbon.
“K9 Jets percaya ahli keluarga iaitu haiwan peliharaan layak untuk mengembara dengan selesa bersama pemiliknya.
“Kami sangat teruja untuk memulakan laluan baharu ini, tepat pada masanya ketika musim cuti, jadi penumpang boleh meraikannya bersama yang tersayang termasuk haiwan peliharaan dengan cara bergaya,” kata Pengasas bersama syarikat itu, Adam Golder.
Syarikat K9 meraikan pelancaran perkhidmatan itu di laman Instagram dengan gambar seorang penumpang yang duduk di meja bersama segelas air sambil wajah tersenyum gembira dicium anjing baka golden retriever.
Kumpulan Protes Iklim Extinction Rebellion mengkritik perkhidmatan tersebut kerana merasakan promosi itu keterlaluan dan mempamerkan sikap tidak peka terhadap isu alam sekitar.
“Ini adalah bukti jelas bahawa orang yang sangat kaya masih mampu menyayangi haiwan namun saya terpinga-pinga kerana golongan sama ini tidak dapat berhubung dengan dunia semula jadi yang hampir runtuh di sekeliling mereka.
“Lapangan terbang Farnborough terkenal dengan bentuk perjalanan yang berlebihan ini dan terus mencari jalan keluar daripada akauntabiliti dengan kisah fantasi yang dipanggil bahan api penerbangan mampan. Saya tidak terkejut apabila perkhidmatan ‘lucu’ K9 Jets ditambahkan pada portfolio mereka.
“Mereka sepatutnya menyediakan pengangkutan bersih yang benar-benar mampan untuk orang ramai, bukannya mengembangkan lapangan terbang jet peribadi yang sangat mencemarkan demi memenuhi keperluan sebilangan kecil golongan elit baik manusia mahupun bukan manusia,” kata jurucakap badan itu, Todd Smith.