ACAPULCO: Kerajaan Mexico semalam, memaklumkan sekurang-kurangnya 27 maut akibat taufan Otis yang turut mengakibatkan pelbagai kerosakan dengan kerugian mencecah berbilion dolar.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, berkata empat mangsa dilaporkan masih hilang akibat bencana alam yang merekodkan angin dengan kelajuan 266 kilometer sejam (km/j).
Beliau berkata, berpandukan gambar yang disiarkan di media sosial, individu hilang dipercayai anggota tentera laut yang pergi ke Acapulco melalui jalan darat dan terpaksa tukar kenderaan beberapa kali, kelmarin.
“Kejadian ini adalah melapetaka kepada Acapulco,” katanya pada sidang media di Mexico City.
Kerajaan setakat ini, belum memberi anggaran kos kemusnahan akibat Otis, namun Enki Research, yang menjejaki ribut tropika menjangkakan angka kerosakan ‘mungkin mencecah hampir AS$15 bilion(RM71.7 bilion)’.
Kementerian Pertahanan pula berkata, hampir 8,400 anggota tentera Mexico, tentera udara dan pengawal negara dikerahkan di Acapulco dan kawasan sekitar bagi kerja pembersihan.
Taufan Otis yang membadai pusat peranginan pantai Acapulco itu adalah kejadian ribut paling kuat pernah melanda negara berkenaan, kelmarin.
Otis diklasifikasikan sebagai ribut Kategori Lima itu mengakibatkan terputus hubungan susulan banjir yang turut menenggelamkan kereta, menerbangkan bumbung rumah dan hotel serta serpihan di seluruh Acapulco dengan penduduk hampir 900,000 orang.
Otis bertambah kuat dengan pantas di luar pantai Pasifik dan tidak dijangka sehingga mampu menerbangkan pokok besar, selain turut mengakibatkan banjir di hospital dan ratusan pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.
Sementara itu, pihak berkuasa Mexico berkata, Otis adalah ribut paling kuat pernah melanda pantai Pasifik Mexico, walaupun kelajuan angin taufan Patricia yang melanda pusat peranginan Puerto Vallarta lapan tahun lalu, meningkat lebih tinggi di laut.