Taufan Otis: Mexico pergiat usaha pulih Acapulco

Taufan Otis: Mexico pergiat usaha pulih Acapulco

GAMBAR pemandangan udara menunjukkan kerosakan disebabkan taufan Otis di Acapulco, Guerrero di Mexico. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico mempergiatkan lagi usaha untuk memulihkan bandar Acapulco yang terjejas akibat dilanda taufan Otis.

Langkah itu diambil ketika angka kematian dan bilangan mangsa hilang akibat bencana yang memusnahkan pusat peranginan pantai itu terus meningkat.

Menurut Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, ramai anggota Kabinetnya sudah berada di Acapulco, dan beliau akan mengetuai usaha pemulihan ketika ribuan tentera dan polis dikerahkan ke bandar itu.

“Kami akan memulihkan Acapulco, bermula dengan rakyatnya,” katanya dalam video disiarkan dalam media sosial.

Anggaran kos kemusnahan akibat Otis dikatakan boleh mencecah hampir AS$15 bilion (RM71.43 bilion).

Lopez Obrador memaklumkan menteri kewangan dan ekonomi akan turut berada di Acapulco.

Katanya, beliau turut meminta gabenor bank pusat Mexico mengunjungi kawasan dilanda bencana itu.

Mexico sudah menghantar kira-kira 17,000 anggota tentera untuk menjaga ketenteraman dan membantu mengagihkan makanan dan bekalan di Acapulco yang merupakan bandar terbesar di negeri Guerrero.

Kerja-kerja membersih mungkin mengambil masa dan kerajaan memaklumkan Otis menyebabkan sebanyak 220,035 kediaman di Guerrero rosak.

Taufan Otis yang diklasifikasikan sebagai ribut Kategori Lima membadai Acapulco pada Rabu lalu sehingga menyebabkan rumah, hotel dan premis perniagaan musnah.

Bencana alam yang merekodkan angin dengan kelajuan 266 kilometer sejam (km/j) turut memutuskan talian elektrik dan komunikasi, mengakibatkan bandar yang mempunyai hampir 900,000 penduduk terputus hubungan.

Dilaporkan, kecurian turut berlaku apabila makanan, air dan bahan api menjadi terhad selepas kemusnahan disebabkan taufan Otis.

Kelmarin, kerajaan mengesahkan sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh manakala enam lagi masih hilang akibat taufan Otis.

Sebelum ini, gabenor negeri selatan Guerrero memaklumkan seramai 36 orang gagal dikesan.

Sehari sebelum itu, angka korban akibat taufan Otis mencecah 39 orang dengan 10 orang dilaporkan hilang. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya