BATON ROUGE: Super fog atau kabus tebal dilaporkan menjadi punca nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya di utara New Orleans.
Menurut pegawai tempatan, nahas itu berlaku daripada kabus tebal yang mengehadkan penglihatan pemandu kenderaan dan ia diburukkan lagi dengan kebakaran hutan paya berhampiran.
Lapor NBC News, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam nahas berlaku di laluan arah utara dan selatan sepanjang Interstate 55 Louisiana.
Lapisan kabus tebal yang luar biasa menjadi antara punca nahas jalan raya itu berlaku sehingga menyebabkan kenderaan remuk selepas merempuh satu sama lain dan sebahagiannya terbakar.
Menurut Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kabus tebal boleh mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada 3.04 meter, dengan keadaan paling teruk mengakibatkan sifar penglihatan.
“Dalam keadaan tiupan angin yang ringan, kabus tebal melanda kawasan tanah rendah seperti dasar anak sungai atau parit saliran,” katanya.
Jelas agensi itu, situasi boleh menjadi amat berbahaya apabila kabus tebal melitupi jalan raya.
Walaupun super fog jarang berlaku, ia bukan fenomena yang tidak pernah didengari.
Malah, pada kebiasaannya, New Orleans mengalami super fog dua kali setahun.