BEIJING: Polis China menyelamatkan lebih 1,000 kucing yang dimuatkan dalam trak, dipercayai mahu disembelih dan dijual sebagai daging babi, lembu atau kambing kepada pelanggan restoran.
Tindakan keji sindiket itu berjaya dibanteras apabila polis di China memeriksa trak yang sarat muatan, susulan aduan pencinta haiwan pada 12 Oktober lalu.
Menurut akhbar The Paper, peniaga membawa trak dikatakan memburu kucing dan menjual dagingnya untuk di masak sebagai makanan di Zhangjiagang, sebuah daerah di bandar Suzhou di wilayah Jiangsu.
Katanya, pencinta haiwan cuba mengesan trak penuh dengan muatan kucing itu selama hampir seminggu, selepas menemui puluhan peti kayu yang setiap satu mengandungi kira-kira 20 ekor kucing, di tanah perkuburan di wilayah pantai timur.
Selepas enam hari mengintip lokasi di mana kucing biasanya berkeliaran dan laluan yang digunakan peniaga, kumpulan aktivis haiwan itu berjaya memintas trak kucing di jalan raya dan menghubungi polis tempatan untuk mendapatkan bantuan.
Trak yang membawa muatan kucing itu dalam perjalanan ke pusat penyembelihan, di mana haiwan itu akan disembelih dan dijadikan makanan seperti sate lidi dan sosej sebelum dijual sebagai daging babi, kambing atau daging lembu, menurut aktivis.
Menurut seorang aktivis haiwan, Gong Jian, taktik memperdayakan pelanggan dengan daging kucing memberi keuntungan lumayan kepada peniaga.
“Daging kucing dijual pada harga 4.50 yuan (RM2.94) bagi satu paun atau 0.45 kilogram (kg) tetapi di pasaran, daging kambing boleh dijual dengan harga 30 yuan (RM19.63) bagi 0.45kg.
“Menjual daging kucing dengan berat sekitar empat hingga lima paun sebagai daging kambing atau daging babi, (peniaga) memperoleh keuntungan berdasarkan perbezaan keseluruhan harga,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan aktivis itu menemui sebuah rumah penyembelihan di wilayah tenggara Guangdong di mana bangkai kucing beku yang dilapah disimpan untuk dijual.
Seorang lagi aktivis, Han Jiali, yang mula menjejaki kereta kucing selepas kehilangan haiwan peliharaannya sendiri, berkata pihak berkuasa tempatan memaklumkan kepadanya haiwan itu tidak berada di bawah perlindungan undang-undang.
Pihak itu juga memaklumkan, dana awam tidak boleh diperuntukkan bagi penjagaan haiwan yang diselamatkan daripada peniaga kucing.
“(Peniaga) menceroboh hartanah saya dan membawa haiwan kesayangan saya ke Guangdong untuk dimakan,” katanya.
Buat masa ini, kebanyakan kucing yang diselamatkan dipindahkan ke taman sementara, dijaga sukarelawan sehingga kembali sihat.
Butiran mengenai kucing seperti baka dan warna bulunya, turut dipaparkan di media sosial supaya pemilik dapat menuntutnya kembali.