Sewa rumah mahal: Orang kaya pun jadi gelandangan di Kanada

Sewa rumah mahal: Orang kaya pun jadi gelandangan di Kanada

PONDOK sementara yang dibina oleh gelandangan di taman di Granby di Quebec, Kanada.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Kanada kini dicengkam lonjakan gelandangan yang menyaksikan puluhan ribu orang tidak lagi mampu membayar sewa dan hartanah hingga terpaksa tinggal di kawasan jalanan negara kaya itu.

GELANDANGAN MENINGKAT

Penyelidik memberi amaran data kerajaan amat memandang berat bilangan gelandangan di seluruh negara, dengan masalah sosial itu dilaporkan sudah merebak dari bandar utama ke pekan-pekan kecil.

“Kami kini mendapati negara kami berada dalam situasi di mana orang kaya pun menghadapi kesukaran dengan perumahan,” kata Perdana Menteri, Justin Trudeau.

Di Quebec, satu daripada dua gelandangan boleh ditemui di kawasan luar bandar di wilayah timur dan bukan hanya di Montreal seperti yang pernah berlaku sebelum ini, berdasarkan laporan terbaharu September lalu.

Seorang gelandangan, Danny Brodeur-Cote mengakui sudah tinggal selama berbulan-bulan di kem sementara di hutan berhampiran tanah perkuburan di Granby 80 kilometer di timur Montreal, selepas diusir pada Jun dari sebuah apartmen yang disewanya.

“Saya bekerja lima hari seminggu. Pada usia 39 tahun, ini adalah kali pertama sepanjang hidup saya terpaksa tinggal di jalanan.

“Kawasan perumahan yang ada di sini terlalu mahal,” kata petugas kebersihan berambut perang kusut itu sambil menolak troli beli-belah ke tapak perkhemahannya.

Ketika ini Brodeur-Cote terus mandi di sungai berdekatan setiap hari sebelum pergi bekerja dan masih menaruh harapan untuk mencari kediaman dengan harga yang berpatutan.

Sebuah taman dilaporkan turut diubah menjadi perkhemahan sementara untuk lelaki dan wanita daripada semua peringkat umur, sebahagiannya merupakan golongan bekerja seperti Brodeur-Cote.

Menurut laporan kerajaan Quebec, hampir satu daripada empat gelandangan berada di jalanan selepas dihalau daripada hartanah perumahan.

“Di Granby sahaja, kami memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 unit rumah mampu milik.

“Orang asli yang mewakili lima peratus daripada penduduk Kanada, merupakan golongan paling ramai berada di jalanan, terutamanya Inuit,” kata Pengarah Organisasi Anti-Kemiskinan Tempatan, Karine Lussier.

KRISIS KEMANUSIAAN

Datuk bandar Granby, Julie Bourdon berkata, daripada memusnahkan kem dan menempatkan semula penghuni, pihaknya memutuskan untuk mengekalkan lokasi berkenaan yang dipanggil tempat toleransi.

“Kehilangan tempat tinggal yang semakin meruncing kini kelihatan tidak wujud tiga tahun lalu di Granby. Ini mungkin berlaku kerana sewa sekarang sangat tinggi berbanding dua tahun lalu,” katanya.

Datuk Bandar Gatineau, France Belisle berkata, peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang melambung tinggi tahun ini menyebabkan ramai penduduk negara itu tidak lagi dapat menampung kehidupan dan beliau khuatir bahawa gambaran itu sebenarnya jauh lebih buruk daripada statistik terkini yang dilakukan kerajaan.

Quebec, wilayah kedua paling ramai penduduk di Kanada turut menghadapi kekurangan perumahan yang serius kerana masalah wabak dan isu kemasukan pendatang asing yang mendorong bilangan penduduk menjadi lebih tinggi.

Antara 2018 dan 2022, bilangan gelandangan di Quebec meningkat sebanyak 44 peratus kepada lebih 10,000 tahun lepas.

Profesor Universiti Western, Ontario Cheryl Forchuk berkata, data kerajaan menganggarkan terdapat kira-kira 235,000 gelandangan di seluruh negara, tetapi jumlah itu hanya melibatkan individu yang mengakses tempat perlindungan.

“Krisis ini tidak boleh diterima dalam masyarakat yang kaya dan moden. Meninggalkan jalan tanpa bantuan adalah sesuatu yang mustahil.

“Kami marah dan sedih kerana selama bertahun-tahun kami sudah memberi amaran tentang perkara ini dan meminta kerajaan berhati-hati kerana negara ini sudah hampir menuju ke arah krisis kemanusiaan,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya