HERAT: Afghanistan dilanda gempa bumi berukuran 6.3 magnitud buat kali kedua dalam tempoh empat hari.
Menurut pengurus ambulans Hospital Wilayah Herat, Abdul Zahir, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 120 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi itu.
“Penduduk yang berada di kawasan terbuka masih mengalami kecederaan akibat serpihan rumah menimpa mereka,” katanya.
Gempa bumi yang menggegarkan barat negara itu, melanda kawasan berhampiran Herat, ibu kota wilayah Herat pada awal pagi semalam.
Bencana itu berlaku ketika pasukan menyelamat berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi pada Sabtu lalu yang mengorbankan lebih 2,400 orang.
Malah, ia juga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang masih trauma selepas beberapa siri bencana sama berlaku minggu lalu.
Sementara itu, Associated Press yang memetik jurucakap Kementerian Penerangan, Abdul Wahid Rayan melaporkan gempa bumi itu mengakibatkan puluhan cedera dan tanah runtuh menyekat lebuh raya utama Herat-Torghundi.
Katanya, bencana itu turut merosakan kira-kira 700 rumah di kampung Chahak yang tidak terjejas dalam kejadian gempa sebelum ini.
Selain itu, Pejabat Gabenor Herat memaklumkan terdapat `kerugian besar’ di daerah berhampiran beberapa kawasan yang dilanda gempa bumi sebelum ini.