KINSHASA: Sungai Ruki yang terletak di Congo baru-baru ini digelar sebagai sungai paling gelap di dunia.
Malah, menurut pasukan saintis dari ETH Zurich di Switzerland, warna air Sungai Ruki iaitu anak sungai dari Sungai Congo, dikatakan sangat gelap sehingga tidak dapat melihat wajah sendiri.
Ia merupakan kajian saintifik yang pertama mengenai sungai Afrika.
Lapor Oddity Central, para saintis menyimpulkan bahawa air Sungai Ruki yang berwarna gelap disebabkan oleh kandungan bahan organik terlarut yang tinggi dari hutan hujan di sekitarnya.
Pasukan saintis juga mendapati bahawa keadaan air sungai itu disebabkan oleh sebatian kaya karbon terlarut daripada bahan tumbuhan yang reput dan dihanyutkan ke Sungai Ruki oleh air hujan dan banjir.
Pengarang utama kajian, Dr. Travis Drake berkata, Ruki pada asasnya merupakan kawasan hutan tanaman teh yang mana bahan tumbuhan kaya dengan karbon dilarutkan.
Warna air yang terhasil menjadikan Sungai Ruki lebih gelap berbanding Sungai Rio Negro.
“Sebatian organik yang terlarut daripada tumbuh-tumbuhan ini menyerap cahaya, jadi semakin tinggi kepekatan semakin gelap air akan kelihatan.
“Ia sama seperti membancuh teh yang sangat pekat dengan menggunakan banyak uncang teh,” katanya.
Dengan menggunakan sistem pengukuran, pasukan saintis mendapati Sungai Ruki adalah 1.5 kali ganda lebih gelap berbanding Sungai Rio Negro di Amazon.
Walaupun Sungai Ruki hanya membentuk kira-kira satu perdua puluh Lembangan Congo, ia membekalkan satu perlima daripada semua karbon terlarut di Congo.