BEIJING: Sekumpulan saintis dari China menemukan sejenis virus yang tidak pernah dilihat sebelum ini `tersembunyi’ di sebuah pulau tropika.
Malah, saintis itu turut memberi amaran bahawa virus misteri itu mungkin boleh menjangkiti manusia.
Lapor Daily Mail, pasukan penyelidik mengambil kira-kira 700 sampel daripada tikus yang berkeliaran di Hainan, berhampiran pantai selatan China.
Sebanyak lapan virus novel termasuk dikatakan berasal dari strain sama dengan Covid, dikenal pasti menerusi projek penyelidikan dibiayai oleh kerajaan China.
Para pakar menyatakan patogen ditemukan itu menunjukkan `kebarangkalian tinggi’ untuk menjangkiti manusia sekiranya melintasi spesies berkenaan.
Sehubungan itu, penyelidik menggesa eksperimen lanjut berkaitan virus itu dilakukan bagi menentukan dengan tepat kesannya terhadap manusia.
Penemuan kajian itu disiarkan dalam jurnal Virologica Sinica yang diterbitkan oleh Persatuan Mikrobiologi China (CSM).
Kajian baharu itu menganalisis 682 sapuan dari tekak dan dubur dikumpulkan dari pelbagai spesies tikus ditangkap di Hainan antara tahun 2017 dan 2021.
Sampel berkenaan yang dikategorikan mengikut spesies tikus dan lokasi di pulau itu kemudian dihantar ke makmal untuk dikaji.
Analisis mendedahkan sejumlah novel virus baharu termasuk koronavirus digelar sebagai CoV-HMU-1 dikesan.
CoV-HMU-1 didapati merupakan betakoronavirus, subgenre koronavirus yang merangkumi Covid-19.
Selain itu, para saintis turut menemukan beberapa patogen baharu dalam kumpulan virus lain.