ANKARA: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman kelmarin mengulangi bantahan negaranya terhadap pemindahan secara paksa penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Semasa mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, beliau menggalakkan agar pelbagai usaha dibuat untuk meredakan situasi di Gaza dan memastikan keganasan tidak merebak, lapor Agensi Anadolu (AA).
Beliau turut menggesa kepungan ke atas Gaza di tarik balik bagi membolehkan bantuan perubatan dan bantuan lain dapat disalurkan dengan segera.
Selain Itu, pejabat Trudeau dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pemimpin berkenaan membincangkan situasi di Gaza serta implikasi keselamatan serantau akibat konflik berkenaan.
Kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan mengenai kesan kemanusiaan dan menekankan kepentingan semua pihak untuk melindungi orang awam serta memastikan akses kemanusiaan ke kawasan terjejas.
Trudeau turut mengulangi sokongan Kanada terhadap penyelesaian dua negara dan hak untuk hidup dengan aman dan selamat.
Terdahulu, Putera Mohammed menyatakan beliau ‘kecewa’ dengan keganasan yang semakin meningkat di Gaza, menyaksikan ramai mangsa yang tidak bersalah terkorban dan secara tegas menolak sasaran yang ditujukan kepada orang awam.
Beliau dengan tegas mengulangi sokongan Arab Saudi untuk mencapai penyelesaian kekal kepada perjuangan rakyat Palestin.
Tekad itu disuarakan beliau sewaktu berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak GCC-ASEAN di Riyadh kelmarin.