WASHINGTON: Beberapa bandar utama di Amerika Syarikat (AS) termasuk New York, Los Angeles, Chicago dan Washington mempertingkatkan kawalan keselamatan terutamanya sekitar masjid dan rumah ibadat Yahudi susulan demonstrasi pro-Palestin berlangsung di negara itu.
Langkah itu diambil bagi menangani sebarang ancaman keganasan susulan konflik Israel-Hamas yang semakin memuncak di Semenanjung Gaza.
Lapor The Guardian, cuti semua pegawai polis yang bertugas di beberapa bandar utama AS dibatalkan serta-merta.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan di sekitar kawasan tumpuan orang ramai serta rumah ibadat, sekolah dan kedutaan Israel di Washington.
Malah, agensi keselamatan turut meningkatkan kehadiran anggota penguatkuasa di tempat yang dianggap berisiko lebih tinggi termasuk di Times Square, New York yang mana sekumpulan besar penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi menyatakan sokongan kepada penduduk Palestin.
Konflik antara Palestin dan Israel yang semakin memuncak ketika ini mencetuskan ketegangan di AS, dengan kumpulan penganut Islam dan Yahudi melaporkan peningkatan ancaman terhadap komuniti mereka.
“Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedia maklum mengenai laporan gesaan tindakan global yang boleh menyebabkan demonstrasi dalam kalangan masyarakat di seluruh AS.
“Kami menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada terhadap sebarang ancaman yang berpotensi,” jelas FBI dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Gabenor New York, Kathy Hochul berkata, pasukan polis bersedia melindungi penduduk di seluruh negeri itu sekiranya berlaku sebarang keganasan.
Dilaporkan, Britain, Kanada, Perancis dan Jerman antara negara yang meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan sasaran puak Zionis yang berisiko dan demonstrasi pro-Palestin yang meletus di bandar.