JAKARTA: Anak sulung Presiden, Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, secara rasmi diumumkan sebagai pasangan calon naib presiden Prabowo Subianto pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Nama Gibran diumumkan selepas pertemuan semua Ketua Umum Parti Gabungan Indonesia Maju (KIM) yang menyokong pencalonan Prabowo sebagai Presiden di Kartanegera kelmarin.
“Kami sudah mengadakan perbincangan muktamad secara konsensus, semua bersetuju untuk mencalonkan Prabowo sebagai Presiden dan Gibran sebagai calon naib presiden untuk KIM.
“Saya rasa itu sahaja. Pengumuman yang kita tunggu-tunggu, ini juga deklarasi yang kita sampaikan kepada masyarakat umum dan pada Rabu kita akan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU),” kata Prabowo dipetik CNN Indonesia.
Berita pengumuman Gibran sebagai calon naib presiden gabungan KIM turut diumumkan secara rasmi selepas Rapat Nasional Parti Gerindra dengan semua pengerusi umum KIM menyatakan persetujuan menyokong Gibran sebagai calon naib presiden Prabowo pada Pilihan Pilpres 2024.
Prabowo yang kini menggalas tugas sebagai Menteri Pertahanan mengakui berkomunikasi dengan Jokowi berhubung rancangan untuk melamar Gibran sebagai calon naib presiden.
Menurut Prabowo, Jokowi menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada Gibran berhubung tawaran tersebut
“Jokowi kata terpulang kepada Gibran kerana beliau sudah dewasa. Jika Datuk Bandar Solo itu sudah bersedia maka Jokowi mengakui tidak akan menghalang,” kata Prabowo.