BAITULMUQADDIS: Polis Israel bertindak menutup Masjid Al-Aqsa dan menghalang jemaah Islam daripada memasuki tapak suci itu.
Lapor agensi berita Palestin WAFA, Jabatan Wakaf Islam memaklumkan polis menutup semua pintu masuk yang menuju ke pekarangan masjid.
“Polis menghalang umat Islam daripada memasuki Masjid Al-Aqsa namun membenarkan orang Yahudi melakukan ritual mereka.
“Tindakan itu jelas melanggar status quo masjid tersebut,” jelas laporan itu.
Pihak berkuasa Israel menyekat kemasukan ke Masjid Al-Aqsa sejak awal pagi semalam.
Pada mulanya, polis Israel bertindak memperketat kemasukan dengan hanya membenarkan golongan warga emas masuk ke masjid tersebut.
Dilaporkan, tindakan menutup dan menyekat kemasukan jemaah ke Masjid Al-Aqsa berlaku ketika ketegangan di wilayah itu semakin memuncak akibat konflik antara Israel dengan Hamas.
Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.
Beberapa negara Asia Barat termasuk Mesir, Yaman, Jordan dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sering mengeluarkan kenyataan mengecam keganasan dilakukan oleh kumpulan pelampau Israel di pekarangan al-Aqsa.