NEW DELHI: Polis India sedang menyiasat insiden letupan yang membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 50 yang lain di Kerala.
Letupan itu berlaku semasa acara sebuah pergerakan agama Kristian di bandar Kalamassery semalam.
Seorang lelaki ditahan selepas dia menyiarkan video yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu dan menyerah diri kepada polis.
Polis berkata, pihaknya masih cuba mengesahkan pengakuan lelaki itu.
“Dia berada dalam tahanan kami tetapi kami belum merekodkan penahanannya setakat ini. Kami masih cuba memastikan kebenaran kenyataannya, ia akan mengambil sedikit masa,” kata Pegawai Perhubungan Awam Polis Kerala, Pramod Kumar.
Insiden itu berlaku semasa sesi doa yang dianjurkan oleh kumpulan Jehovah’s Witnesses di Kalamassery dengan lebih 2,000 pengikut menghadiri acara tiga hari itu.
Dua orang meninggal dunia semalam, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang mengalami kesan melecur sehingga 95 peratus disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Menteri Kesihatan Kerala, Veena George memberitahu pemberita, seramai 12 orang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Empat orang kritikal, tiga daripadanya menggunakan ventilator. Mereka yang parah mengalami luka melecur melebihi 50 hingga 60 peratus,” katanya.
Pegawai kanan polis, Shaik Darvesh Saheb berkata, siasatan awal menunjukkan bahawa alat letupan buatan (IED) yang diletakkan di dalam kotak mungkin menyebabkan letupan itu.