TYRE, Lubnan: Lebih 4,200 orang dipindahkan dari kawasan penempatan di selatan Lubnan ekoran pertempuran dengan tentera Israel di kawasan sempadan.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan mereka tidak bersedia untuk melakukan pemindahan secara besar-besaran sekiranya pertempuran masih berlaku.
Dianggarkan 1,500 penduduk yang berpindah tinggal tinggal di tiga sekolah di bandar Tyre yang terletak 20 kilometer ke utara sempadan Lubnan dengan Israel.
Ada juga penduduk berpindah ke rumah ahli keluarga, namun ada yang tiada hala tuju.
“Kami boleh jadikan beberapa sekolah sebagai tempat tinggal sementara, namun jika sumber tidak dijamin, kami akan berdepan dengan masalah.
“Komuniti antarabangsa perlu bantu kami dengan menyalurkan bantuan bekalan asas sehingga konflik selesai,” kata Ketua Pengurusan Bencana di Majlis Perbandaran Tyre.
Kumpulan Hezbollah dan beberapa sekutu Palestin melancarkan serangan peluru berpandu ke utara Israel sejak Hamas menyerang Zionis pada 7 Oktober lalu.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan di kawasan selatan Lubnan dan sehingga kini, pertempuran yang berlaku meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa di negara ini dengan empat daripadanya merupakan penduduk awam.
Selain itu, konflik yang semakin meruncing menyaksikan sejumlah penerbangan ke Beirut dibatalkan, malah negara seperti Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi dan Jerman mengarahkan supaya rakyat mereka meninggalkan Lubnan. – AP