BEIRUT: Hampir 20,000 orang kehilangan tempat tinggal di selatan Lubnan dan kawasan lain sejak awal Oktober lalu susulan keganasan meningkat di sempadan Lubnan-Israel berikutan perang di Gaza.
Pertubuhan antarabangsa untuk migrasi berkata, seramai 19,646 orang menjadi pelarian di dalam Lubnan sejak 8 Oktober.
Agensi itu memaklumkan, pergerakan tersebut dilakukan kebanyakannya oleh mereka yang melarikan diri dari selatan Lubnan, manakala sebahagian lagi berpindah dari kawasan lain.
Pihak berkuasa Israel juga telah memindahkan berpuluh-puluh bandar dan komuniti dari utara Israel berikutan kebimbangan diserang Hezbollah.
Hal ini kerana kumpulan tersebut yang disokong Iran dan Israel dilaporkan semakin kerap berbalas serangan di sepanjang sempadan.
Situasi itu disifatkan sebagai peningkatan serangan paling teruk sejak kedua-dua pihak itu berperang pada 2006.
Ramai yang melarikan diri dari selatan Lubnan juga berpindah ke utara di bandar pesisir pantai Tyre, iaitu 18 kilometer dari kawasan sempadan.
Seorang Ahli Parlimen dari Tyre, Inaya Ezzeddine berkata, pergerakan itu memberi tekanan kepada keluarga yang menjadi tuan rumah bagi pelarian dan kerajaan sebuah negara yang bergelut dengan krisis ekonomi.
Ezzeddine menambah, kira-kira 6,000 orang mencari perlindungan di Tyre dan tiga sekolah digunakan untuk melindungi sebahagian daripada mereka.
Hezbollah berkata, 27 pejuangnya turut terbunuh dalam pertempuran sejak 7 Oktober.
Manakala sumber keselamatan Lubnan berkata, 11 pejuang dari kumpulan Palestin di Lubnan, yang bersekutu dengan Hezbollah, juga terkorban.
Sementara itu, tentera Zionis pula memaklumkan tujuh tenteranya terbunuh di sepanjang kawasan sempadan dengan Lubnan.