Perang di Gaza bakal merebak rentas sempadan - Putin

Perang di Gaza bakal merebak rentas sempadan – Putin

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran perang Israel di Gaza boleh merebak jauh hingga ke luar Asia Barat, menegaskan wanita, kanak-kanak dan warga tua yang tidak bersalah di sekitar Palestin sedang dihukum kerana jenayah pihak lain.

Putin berkata, beliau memberitahu pemimpin dunia lain dalam beberapa panggilan telefon bahawa jika kempen ketenteraan Israel di Gaza tidak berhenti, terdapat risiko konflik merebak dengan lebih meluas merentas sempadan.

“Peningkatan krisis ini penuh dengan akibat yang serius dan sangat berbahaya serta merosakkan bukan sahaja untuk rantau Asia Barat. Ia boleh merebak jauh di luar sempadannya,” katanya.

Dalam kenyataan yang mengkritik Barat, beliau menegaskan pasukan tertentu sedang berusaha untuk mencetuskan pergolakan lebih besar dan menarik seberapa banyak negara dan rakyat lain ke dalam konflik tersebut.

“Matlamatnya adalah untuk melancarkan gelombang huru-hara dan kebencian bersama bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga jauh di luar sempadannya. Selain itu mereka cuba mempermainkan perasaan kebangsaan dan agama berjuta-juta orang,” tambahnya.

Kremlin berkata, usaha untuk bersetuju dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang seimbang mengenai konflik Israel-Hamas harus diteruskan.

Kelmarin Russia dan China menggunakan kuasa veto menolak resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat (AS) yang menggesa peperangan dihentikan seketika bagi membenarkan akses bantuan, perlindungan orang awam selain menghentikan usaha menyalurkan senjata kepada Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza.

Diplomat menyatakan usaha yang disebut ‘jeda kemanusiaan’ itu tidak sama dengan gencatan senjata, yang disokong oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kerana mungkin hanya berlangsung dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Russia membuat cadangan saingan yang menganjurkan gencatan senjata lebih luas sebagai pilihan seimbang tetapi cadangan itu gagal memenangi jumlah undian minimum.

Israel dilaporkan menentang kedua-dua usaha gencatan senjata dan jeda kemanusiaan tersebut.

Putin berkata, Moscow terus menyokong penyelesaian dua negara bagi isu Palestin-Israel, sebagai satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian jangka panjang dan mengutuk Israel kerana terus mengebom Gaza demi membalas dendam terhadap serangan yang dilakukan Hamas.

“Ia juga jelas kepada kami bahawa orang yang tidak bersalah tidak seharusnya bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan oleh orang lain.

“Perjuangan menentang keganasan tidak boleh dijalankan mengikut prinsip tanggungjawab kolektif yang terkenal sehingga orang tua, wanita, kanak-kanak, seluruh keluarga dan ratusan ribu orang dibiarkan tanpa tempat tinggal, makanan, air, elektrik dan rawatan perubatan,” tambahnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya