Pengembara berang basikal diguna keliling dunia dicuri - Utusan Malaysia

Pengembara berang basikal diguna keliling dunia dicuri

GEORDIE Stewart kecewa basikal yang digunakan ketika misinya mengelilingi dunia dicuri baru-baru ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang pengembara Britain yang pernah menempa nama kerana menyempurnakan penjelajah berbasikal mengelilingi dunia empat tahun lalu kembali mendapat perhatian media selepas basikal yang digunakan sepanjang misi tersebut dicuri baru-baru ini.

Geordie Stewart, 34, berang apabila basikal kesayangannya itu didapati hilang selepas diletakkan di luar pub Anglesea Arms di Hammersmith Selasa lalu.

Stewart yang menggelar basikal itu sebagai Dorothy sempena watak filem The Wizard of Oz berkata, kejadian kecurian di barat London itu dirakam oleh kamera keselamatan sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Lapor Daily Mail, misi unik Stewart bersama Dorothy bermula di London pada 2018 yang menyaksikan dia berbasikal melalui Perancis, Asia tengah, Australia dan New Zealand.

Stewart kemudian meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) sebelum ke Portugal dan akhirnya kembali ke London pada 2019 selepas melakukan penjelajahan selama 430 hari.

“Saya singgah minum bersama beberapa rakan yang saya kenali dalam tentera. Saya bersembang agak lama dengan mereka. Selepas saya keluar, basikal yang saya bawa sudah tiada di sana,” kata Stewart kepada The Times.

Stewart berkata, dia akan berusaha untuk mendapatkan semula Dorothy yang dibelinya dengan harga beberapa ratus pound pada 2018 di eBay kerana nilai sentimental yang ada pada basikal itu.

“Saya melalui pelbagai pengalaman bersama basikal itu, dari suhu di bawah 45 darjah Celsius di Kazakhstan hingga suhu melebihi 45 darjah Celsius di California.

“Dorothy hampir dicuri oleh seorang lelaki dengan pisau di Itali dan pernah dirampas seketika oleh polis China. Malah saya juga merasai pengalaman diancam oleh orang tidak dikenali ketika berbasikal di tengah-tengah kawasan pedalaman di Australia,” jelasnya.

Menurut Stewart, dia tidak melaporkan kehilangan basikal itu kerana merasakan polis mempunyai perkara yang lebih besar untuk dibimbangkan tetapi berharap mendapatkan semula Dorothy sama ada melalui pasaran terpakai selain menunggu pemilik baharu memulangkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya