OTTAWA: Seorang wanita warga emas dari Chicago berusia 104 tahun yang mendapat perhatian dunia melalui aksi terjunan udara awal bulan ini dilaporkan meninggal dunia.
Jururawat, Joe Conant berkata, Dorothy Hoffner disedari meninggal dunia dalam tidur Isnin lalu oleh kakitangan di komuniti warga emas Brookdale Lake View.
Conant mengakui amat sedih dan merasa kehilangan kerana warga emas itu disifatkan seorang wanita bersemangat tinggi dengan tenaga luar biasa dan masih mempunyai akal tajam.
“Hoffner tidak kenal lelah. Dia bukanlah seseorang yang akan tidur siang pada waktu petang malah sentiasa bersiap untuk menghadiri sebarang majlis, jemputan makan malam atau apa sahaja acara,” katanya
Hoffner melakukan aksi tersebut bersama penerjun, Derek Baxter pada 1 Oktober lalu sempena sambutan hari jadinya di Skydive Chicago di Ottawa, Illinois dan Conant sedang dalam usaha menyiapkan kertas kerja untuk memastikan warga emas itu mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinnes sebagai penerjun udara tertua di dunia.
Skydive Chicago dan Persatuan Payung Terjun Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan turut menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian Hoffner.
“Kami amat berduka cita dengan pemergian Hoffner namun berasa berbesar hati kerana dapat membantu merealisasikan aksi terjunan udara epik itu. Hoffner mengingatkan kita bahawa tidak pernah terlambat untuk menikmati keseronokan seumur hidup,” jelas kenyataan itu.
Menurut Conant, Hoffner bekerja selama lebih empat dekad sebagai operator telefon dengan syarikat Illinois Bell sebelum bersara 43 tahun lalu dan warga emas itu tidak pernah berkahwin atau mempunyai ahli keluarga terdekat.
Upacara peringatan untuk Hoffner dilaporkan akan diadakan pada awal November.-AP