LONDON: Seorang pemain hoki ais dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai lehernya ‘hampir putus’ terkena bilah kasut luncur semasa satu perlawanan diadakan di Sheffield, England.
Lapor Daily Mail, berita kematian Adam Johnson dimaklumkan oleh keluarganya.
Kecederaan dialami oleh bintang hoki ais dari Amerika Syarikat (AS) itu amat mengerikan sehingga perlawanan antara Nottingham Panthers dan Sheffield Steelers terpaksa dihentikan, selain menyebabkan para penyokongnya trauma.
Atlet kelahiran Minnesota yang berusia 29 tahun itu dipercayai terkena bilah kasut luncur ais dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena Sheffield, kelmarin.
Ibu Adam, Kari berkongsi berita kematian anaknya menerusi laman media sosial.
“Saya kehilangan separuh nyawa saya (Adam) hari ini,” kata Kari.
Dalam pada itu, seorang saksi mendakwa Adam cuba meluncur ke arah pasukannya selepas mengalami kecederaan pada lehernya namun dia rebah sebelum sempat berbuat demikian.
Perkhidmatan Ambulans Yorkshire memaklumkan pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.21 malam (waktu tempatan) dan bertindak menghantar dua ambulans bersama pasukan paramedik sebelum Adam dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun, polis South Yorkshire kemudian mengesahkan Adam meninggal dunia di hospital.
Dilaporkan, siasatan berhubung insiden itu masih sedang dijalankan.
Sementara itu, kelab Nottingham Panthers mengesahkan Adam meninggal dunia secara tragis ekoran kemalangan luar biasa dalam perlawanan hoki ais menentang Sheffield Steelers baru-baru ini.
“The Panthers menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Adam pada waktu yang amat sukar ini. Doa dan ingatan kami kepada keluarga dan para peminat pemain nombor 47 itu.
“Malah, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang bergegas cuba membantu Adam ketika kejadian ngeri itu.
“Adam bukan sahaja pemain hoki ais yang cemerlang tetapi rakan sepasukan hebat dan luar biasa. Kami akan merinduinya,” jelas kelab itu.