LONDON: Satu kajian mendapati individu lebih cenderung kurang memberi perhatian terhadap tugasan apabila bekerja bersama robot.
Kajian itu menemukan bukti wujudnya kemalasan sosial atau social loafing.
Sosial loafing merupakan istilah digunakan dalam bidang psikologi yang menggambarkan kecenderungan individu untuk mencuri tulang atau kurang serius dalam tugasan apabila ramai yang terlibat melakukan perkara yang sama.
Lapor The Guardian, pasukan penyelidik dari Universiti Teknikal Berlin berpandangan individu melihat robot sebagai sebahagian pasukan mereka.
Kata saintis, individu lebih cenderung mengambil pendekatan berkenaan setelah menganggap rakan sekerja atau teknologi itu menunjukkan prestasi sangat baik atau merasakan sumbangan mereka tidak dihargai.
“Kerja berpasukan ada pro dan kontranya. Ia mampu mendorong orang ramai untuk bekerja dengan lebih baik, namun pada masa sama ia juga boleh menyebabkan hilangnya motivasi kerana sumbangan individu tidak begitu ketara.
“Kajian ini juga meneliti sama ada boleh menemukan kesan motivasi sedemikian apabila rakan sekerja anda adalah robot,” kata pengarang pertama kajian, Dietlind Helene Cymek.
Pasukan penyelidik itu menguji hipotesis mereka dengan meminta dua kumpulan pekerja menyemak kualiti siri tugasan.
Kumpulan pekerja yang pertama dimaklumkan bahawa tugasan tersebut sudah dilakukan oleh robot bernama Panda.
Manakala satu lagi kumpulan pekerja yang tidak bekerja dengan Panda masih dapat melihat dan mendengar robot itu beroperasi.
Kesemua pekerja itu diminta memeriksa sekiranya terdapat ralat pada papan litar.
Pada mulanya, dua kumpulan pekerja memaklumkan tidak menemukan sebarang perbezaan ketika memeriksa papan litar.
“Namun apabila pasukan penyelidik menyiasat kadar ralat peserta, mereka mendapati pekerja yang bekerja dengan Panda kurang mengesan kesilapan setelah melihat robot itu mampu mencari banyak ralat.
“Pekerja itu mungkin kurang memberi perhatian apabila merasakan rakan sekerja atau sumber itu boleh dipercayai,” jelas laporan.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Robotics dan AI.