NAIROBI: Seorang lelaki di Kenya ditahan selepas didapati menyamar sebagai peguam dan pernah mewakili beberapa pelanggannya dalam 26 kes yang berbeza di mahkamah.
Namun, apa yang menariknya adalah lelaki itu menang dalam semua kes diwakilinya tanpa mempunyai pendidikan khusus dalam bidang undang-undang.
Lapor Oddity Central, Brian Mwenda Njagi turut digelar sebagai `Mike Ross sebenar’ yang merujuk kepada watak popular dalam siri televisyen Suits.
Mwenda sempat menguruskan 26 kes anak guamnya di hadapan hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, serta memenangi kesemua kes berkenaan.
Lelaki itu menggambarkan dirinya sebagai peguam yang bertauliah sehingga mana-mana individu termasuk para hakim tidak dapat mencuriga keupayaannya.
Persatuan Undang-Undang Kenya (LSK) hanya mula mengesyaki Mwenda selepas menerima aduan daripada peguam, Brian Mwenda Ntwiga yang mengadu tidak dapat mengakses akaunnya.
“Pada 5 Ogos lalu, permohonan Brian Mwenda Ntwiga diterima masuk dalam Majlis Peguam dan alamat emelnya yang betul dicatatkan dan akaun baharu sudah dibuka untuknya dalam portal Peguambela.
“Kami menghubungi peguam Brian Mwenda Ntwiga yang mengesahkan tidak memohon sijil amalan sejak diterima masuk. Alasannya dia pernah bekerja di Pejabat Peguam Negara dan tidak memerlukan dokumen demikian,” jelas LSK dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ketika cuba log masuk ke akaunnya untuk mengaktifkan profil, Ntwiga menyedari butiran itu salah dan tidak dapat mengakses akaun itu.
“Dia menghubungi LSK dan siasatan dijalankan didapati individu lain yang mempunyai nama sama sepertinya telah `menganggu’ akaunnya.
“Setelah mengumpul bukti mencukupi, pasukan tindakan LSK cawangan Nairobi menahan Brian Mwenda Njagi atas tuduhan menyamar sebagai peguam,” jelas laporan itu.