RAFAH (Mesir): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merayu supaya trak bantuan ke kawasan yang terkepung dilepaskan segera,
Beliau melawat sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza pada Jumaat, beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan harapan ada untuk bantuan kemanusiaan.
Guterres berada di Semenanjung Sinai, tempat lebih 200 trak bantuan menunggu untuk dilepaskan dan banyak lagi bantuan disimpan, dan beliau menyifatkan kelewatan menghantar makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api kepada mereka yang memerlukan amat menyayat hati.
“Lori ini bukan sekadar trak. Ini talian hayat antara hidup dan mati bagi ramai orang di Gaza.
“Melihat trak bantuan ini tersekat, amat jelas sekali mereka perlu bergerak melepasi sempadan secepat dan sebanyak mungkin,” katanya, ketika ratusan orang termasuk pemandu trak dan sukarelawan bantuan melaungkan slogan pro-Palestin dan mengibarkan sepanduk.
Rafah kekal ditutup sejurus selepas Israel memulakan pengebomannya ke atas Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan maut oleh kumpulan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu dan perbalahan mengenai syarat untuk menyampaikan bantuan menghalang pembukaan semula sempadan.
Israel meletakkan syarat pelepasan ialah mereka memeriksa bantuan, manakala negara Barat mendesak untuk memindahkan pemegang pasport negara lain dari Gaza.
Sementara itu di Washington, Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau percaya trak yang membawa bantuan akan sampai ke Gaza dalam tempoh 24 hingga 48 jam, ketika beliau bertemu dengan pemimpin dari Kesatuan Eropah di Rumah Putih untuk membincangkan peperangan di Timur Tengah.
Ditanya mengenai trak bantuan yang melalui ke Gaza, Biden berkata, beliau mendapat komitmen daripada Israel dan Presiden Mesir.
“Lebuh raya itu sudah diturap semula. Tapi saya percaya dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang, 20 trak pertama dengan bantuan akan melalui,” katanya.
Biden juga berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk merancang memindahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dari Mesir, dalam panggilan telefon, menurut Rumah Putih. – REUTERS