QUETTA: Pihak berkuasa Pakistan menuduh India menjadi dalang letupan di sebuah masjid di Mastung, di wilayah selatan Balochistan, menyaksikan jumlah korban kini sebanyak 59 orang.
Insiden itu berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri berhampiran kenderaan polis.
Menteri Dalam Negeri, Sarfaraz Bugti berkata, semua pihak membantah kes pengeboman bunuh diri di Mastung.
Katanya, agensi perisikan Sayap Penyelidikan dan Analisis India (RAW) terlibat dalam insiden tersebut, namun tidak memberikan butiran lanjut.
“Tragedi itu amat menyakitkan, amat menyedihkan semua orang di Pakistan dan India mungkin ada jawapannya,” kata Sarfaraz.
Dalam pada itu, Kementerian Luar India masih belum memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.
Satu lagi insiden letupan di masjid di utara Khyber Pakhtunkhwa pada Jumaat lalu turut mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
Polis Pakistan kelmarin memfailkan laporan untuk melakukan siasatan dan memaklumkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada pengebom bunuh diri sudah diambil untuk dianalisis.
Sehingga kini, tiada sebarang pihak tampil mengaku melakukan dua serangan tersebut.
Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang bertanggungjawab ke atas beberapa serangan berdarah di Pakistan sejak penubuhan kumpulan itu pada 2007, nafi bertanggungjawab susulan serangan terbaru itu. – REUTERS