Pakistan arah PATI tinggalkan negara sebelum 1 November

Pakistan arah PATI tinggalkan negara sebelum 1 November

PEGAWAI memeriksa dokumen warga Afghanistan yang memasuki Pakistan di pos kawalan sempadan di Torkham. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mengarahkan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara itu terutamanya kira-kira 1.73 juta warga Afghanistan, untuk meninggalkan republik berkenaan sebelum 1 November depan.

Lapor Al Jazeera, Menteri Dalam Negeri, Sarfraz Bugti menegaskan golongan itu harus meninggalkan Pakistan secara sukarela atau akan dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Kami sudah memberi tarikh akhir iaitu pada 1 November kepada mereka,” katanya di tengah-tengah dakwaan Islamabad bahawa 14 daripada 24 serangan pengebom berani mati berlaku di negara itu pada tahun ini dilakukan oleh warga Afghanistan.

Menurut Sarfraz, kira-kira 1.73 juta warga Afghanistan di Pakistan tidak mempunyai dokumen sah untuk tinggal di negara itu.

Katanya, seramai 4.4 juta pelarian Afghanistan tinggal di Pakistan.

“Kami diserang dari dalam Afghanistan dan rakyat negara itu juga terlibat dalam serangan ke atas Pakistan. Kami mempunyai buktinya.

“Oleh itu, sekiranya mereka tidak meninggalkan negara, maka semua agensi penguatkuasa undang-undang di wilayah atau kerajaan Persekutuan akan digunakan untuk menghantar pulang mereka,” kata Sarfraz.

Tidak dapat dipastikan bagaimana pihak berkuasa Pakistan mahu memastikan PATI meninggalkan negara atau mencari golongan itu untuk menghantar pulang mereka.

Islamabad menerima kumpulan pelarian Afghanistan yang paling ramai sejak pencerobohan Soviet ke atas negara itu pada tahun 1979.

Berdasarkan data terkini dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1.3 juta rakyat Afghanistan merupakan pelarian berdaftar di Pakistan dan 880,000 lagi mempunyai status sah untuk tinggal di negara itu.

Tambah Sarfraz, mulai 1 November depan, Pakistan hanya membenarkan kemasukan warga Afghanistan yang mempunyai pasport dan visa yang sah.

Selama bertahun-tahun, warga Afghanistan yang memasuki Pakistan melalui sempadan darat dibenarkan menggunakan kad pengenalan negara mereka sebagai dokumen perjalanan.

Sementara itu, Kedutaan Afghanistan di Islamabad mengecam dan menyifatkan pengumuman dibuat Pakistan sebagai satu bentuk `penindasan’.

Pengumuman berkenaan menandakan ketegangan dalam hubungan Pakistan dengan Kabul yang semakin merosot sejak pertempuran sempadan antara negara jiran Asia Selatan pada bulan lalu.

Dalam satu kenyataan disiarkan di aplikasi X, kedutaan Afghanistan memaklumkan lebih 1,000 warga Afghanistan ditahan dalam tempoh dua minggu lalu.

Jelas kedutaan itu, hampir separuh warga Afghanistan yang ditahan itu mempunyai hak sah untuk berada di Pakistan.

“Meskipun sudah berulang kali dijanjikan oleh pihak berkuasa Pakistan, isu penahanan dan penindasan terhadap pelarian warga Afghanistan oleh polis masih berterusan,” jelas kedutaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya