Orang Asli Australia zahir kekecewaan hilang hak di tanah sendiri - Utusan Malaysia

Orang Asli Australia zahir kekecewaan hilang hak di tanah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YDNEY: Orang Asli Australia menyuarakan kemarahan dan kesedihan atas penolakan desakan penting untuk hak dan pengiktirafan mereka di tanah sendiri, oleh majoriti kulit putih negara itu dalam referendum kebangsaan yang mengikat.

Susulan itu, pemimpin orang asli menggesa protes ‘minggu senyap’ dengan menyepi untuk meratapi keputusan ‘pahit’ itu, selepas Perdana Menteri, Anthony Albanese, menggesa negaranya yang berpecah-belah untuk pulih ‘dalam semangat perpaduan’.

Kira-kira lebih 70 peratus undi dikira hari ini, dengan 60 peratus rakyat Australia, yang rata-ratanya adalah pendatang, menolak sama ada Perlembagaan 1901 perlu diubah untuk mengiktiraf hak penduduk asal negara itu.

Sekiranya diterima, pembaharuan itu akan mewujudkan badan perundingan ‘Suara’ di dalam Parlimen, yang ditugaskan mencari penyelesaian kepada ketidaksamaan, penindasan dan penyisihan yang berleluasa dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak diterima di setiap negeri di seluruh negara itu, dalam referendum yang diadakan baru-baru ini.

Kumpulan advokasi Orang Asli berkata, berjuta-juta rakyat Australia mengabaikan peluang untuk menebus kembali perbuatan ‘kejam’ mereka terhadap Orang Asli Australia.

“Sekarang adalah masa untuk berdiam diri, berkabung dan mempertimbangkan secara mendalam akibat daripada keputusan ini.

“Sebenarnya kami menawarkan pengiktirafan ini dan ia ditolak. Kami tahu sekarang di mana kami berdiri di negara kami sendiri,” menurut kenyataan bersama itu.

Sementara itu, pengundi Orang Asli, Auntie Shirley Lomas menentang kekalahan, mengatakan ia tidak melakukan apa-apa untuk menghancurkan tekadnya.

“Orang Asli sudah berada di sini selama 60,000 tahun dan akan terus berada di sini.

“Pengundi mengundi tidak kerana mereka takut perubahan. Kebanyakan mereka tidak mengenali Orang Asli,” katanya kepada AFP selepas keputusan itu.

Kurang daripada empat peratus daripada 26 juta penduduk Australia adalah Orang Asli dan mereka sekian lama berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak asas mengundi, memiliki tanah tradisional dan memenangi pilihan raya untuk memasuki Parlimen.

Dalam pada itu, Albanese berikrar bahawa kerajaannya akan terus berusaha untuk memberi pengiktirafan Orang Asli, walaupun tidak jelas apa pilihan yang masih ada. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya