New York isytihar darurat akibat banjir kilat

New York isytihar darurat akibat banjir kilat

BEBERAPA kenderaan terkandas di lebuh raya FDR di Manhattan susulan banjir kilat melanda New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Beberapa bahagian di New York dilanda banjir kilat yang berbahaya kelmarin ekoran hujan lebat berterusan sepanjang malam.

Susulan itu, darurat diisytiharkan di New York di tengah-tengah amaran pihak berkuasa bahawa bencana tersebut boleh mengakibatkan kematian.

Lapor The Guardian, Gabenor New York, Kathy Hochul mengisytiharkan darurat pada kelmarin disebabkan `taburan hujan melampau’.

Hochul dalam satu ciapan di aplikasi X memaklumkan darurat itu turut meliputi New York, Long Island dan Hudson valley. 

Dalam pada itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan kira-kira 8.5 juta penduduk diletakkan di bawah amaran banjir kilat di New York.

Konkrit dan turapan di bandar tersebut dikatakan memburukkan lagi banjir memandangkan pembetungan penuh itu gagal mengalirkan air hujan secukupnya semasa hujan lebat berterusan.

Dilaporkan, beberapa bahagian New Jersey juga diletakkan di bawah amaran cuaca yang sama.

Cuaca ekstrem itu membuktikan ia bukan sahaja hari paling basah di New York sejak dilanda Taufan Ida, malah menjejaskan kehidupan penduduk yang mana kebanyakannya berada di pangsapuri bawah tanah ditenggelami air dan menyebabkan huru-hara di seluruh bandar dan wilayah sekitarnya.

Beberapa daerah di New York iaitu Bronx, Brooklyn dan Queens terjejas teruk dengan jalanan dan bangunan ditenggelami air, kereta ditinggalkan serta sebahagian besar rangkaian pengangkutan awam bandar itu tergendala. 

Menurut NWS, `beberapa laporan operasi penyelamatan dan pemandu kenderaan’ terkandas dalam banjir di daerah Nassau, New York. 

“Statistik ini tidak boleh dipandang ringan. Sudah tentu, ia menekankan betapa pentingnya untuk memberi perhatian teliti terhadap amaran cuaca dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan,” kata pesuruhjaya pengurusan situasi kecemasan New York, Zachary Iscol.

Malah, beliau juga menyifatkan insiden berlaku kelmarin sebagai hari paling basah pernah direkodkan dalam tempoh dua tahun. 

Pegawai bandar raya menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan kekal berada di rumah dan pusat perlindungan.

Dilaporkan, beberapa pemandu yang berada di lebuh raya FDR sebelah timur Manhattan menyelamatkan diri dengan terpaksa meninggalkan kenderaan mereka dalam banjir.

Sementara itu, senator New York, Chuck Schumer dan Kirsten Gillibrand menerusi surat kepada Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, 

Deanne Criswell menggesa agensi itu bersiap sedia sekiranya memerlukan perkhidmatan.

NWS melaporkan hujan lebat berterusan dengan taburan kira-kira 25.4 hingga 127 milimeter direkodkan di beberapa bahagian di New York sejak awal Jumaat lalu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya