BAITULMUQADDIS: Ketenteraan Israel semalam memaklumkan pasukannya melancarkan serangan darat diikuti dengan serangan udara dan dron dengan menyasarkan kubu Hamas di Semenanjung Gaza.
Serangan itu menyaksikan sejumlah bangunan yang didakwa pusat persembunyian pejuang Hamas, tapak pelancaran peluru berpandu antikereta kebal musnah, selain beberapa anggota kumpulan itu juga terkorban.
“Operasi itu dilakukan dengan lancar di sasaran yang kami tetapkan,” menurut kenyataan tentera Israel.
Rakaman yang dikongsi tentera Israel menunjukkan kepulan asap menjulang tinggi ke udara selepas mereka melancarkan serangan di tengah Gaza.
Serangan terbaharu itu dilakukan selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengulangi pendiriannya untuk menggempur Gaza habis-habisan.
Beliau memberi gambaran bahawa tentera Israel akan ‘menawan Gaza dalam minggu ini’.
TIDAK ENDAHKAN GESAAN
Serangan itu juga secara tidak langsung menunjukkan Israel langsung tidak mengendahkan gesaan pelbagai pihak supaya konflik, memandangkan semakin banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa di Gaza.
Sebelum ini, Israel bersetuju untuk menangguhkan serangan darat ke atas Gaza buat masa bagi membolehkan Amerika Syarikat (AS) menghantar pertahanan peluru berpandu bagi melindungi pasukan tenteranya di wilayah itu.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan Wall Street Journal (WSJ) yang memetik kenyataan pegawai AS dan Israel.
Menurut laporan WSJ, pegawai AS berjaya memujuk Israel untuk menangguhkan serangan itu sehingga sistem pertahanan udara AS ditempatkan di wilayah itu yang dijangkakan pada akhir minggu ini.
Jelas laporan itu, Israel juga sedang mempertimbangkan rancangan membekalkan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza dan usaha diplomatik untuk membebaskan tebusan.
TIDAK KISAH NYAWA TEBUSAN
Israel juga menerima kecaman daripada pelbagai pihak kerana tidak kisah dengan keselamatan penduduknya yang ditawan Hamas apabila berterusan melancarkan serangan di Gaza.
Beberapa pihak menyifatkan tindakan Israel itu sebagai ‘membalas dendam dahulu, keselamatan tebusan difikirkan kemudian’.
Malah, penduduk Israel sendiri tertekan apabila pihak berkuasa wilayah haram itu tidak mengulas lanjut mengenai misi menyelamatkan penduduknya.
Sebaliknya, tentera Israel semakin rancak melancarkan serangan demi serangan tanpa mengetahui sama ada sasaran mereka, iaitu Hamas benar-benar terkesan atau tidak.
SENJATA HAMAS DIBEKAL IRAN, KOREA UTARA?
Tentera Israel mendakwa sebahagian daripada senjata digunakan Hamas dalam serangannya pada 7 Oktober, dihasilkan di Iran atau Korea Utara.
Kenyataan itu dibuat ketika lawatan media rasmi menyaksikan pelbagai senjata ditemukan daripada masyarakat di selatan Israel yang diserang pejuang Hamas, antaranya periuk api, roket pelancar grenad (RPG) dan dron buatan sendiri.
Sebahagian daripada senjata itu turut termasuk peluru mortar buatan Iran dan RPG Korea Utara.
“Saya rasa kira-kira lima hingga 10 peratus daripada senjata di sini (dibuat di Iran), manakala 10 peratus dari Korea Selatan dan selebihnya dihasilkan di Semenanjung Gaza.
“Paling mengejutkan ialah jumlah senjata yang dibawa masuk ke Israel,” kata pegawai tentera Israel yang membantu mengawasi pembersihan pembekalan senjata dari kawasan diserang dan enggan identitinya didedahkan.
PEMERIKSAAN KETAT
Pemeriksaan terlalu ketat ke atas trak membawa bantuan kemanusiaan, menyebabkan kesesakan di persimpangan Rafah, Mesir ke Gaza, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cindy McCain, menegaskan bantuan yang diterima sangat sedikit.
Beliau yang melawat Mesir dan bertemu pegawai berkata, setiap trak perlu menurunkan muatannya di pusat pemeriksaan dan perlu memuatkannya semula sejurus prosedur selesai.
“Trak yang masuk sangat sedikit. Kita perlu mendapatkan (bantuan) dalam jumlah besar, selain memerlukan akses ke Gaza yang selamat dan tidak terkawal supaya makanan boleh diagihkan serta memastikan orang ramai tidak mati kebuluran.
“Birokrasi sangat gila,” katanya.