LONDON: Sebuah lembaga amanah ambulans di England tampil memohon maaf susulan kejadian seorang pesakit yang disahkan meninggal dunia, kembali `hidup semula’ di hospital.
Lapor The Guardian, Perkhidmatan Ambulans Timur Laut (NEAS) memaklumkan pihaknya amat kesal dan sudah menghubungi keluarga pesakit berkenaan.
Pengarah Paraperubatan NEAS, Andrew Hodge menerusi kenyataan menyatakan pihaknya juga melancarkan siasatan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Kami berasa amat kesal atas kesukaran yang dialami oleh keluarga pesakit.
“Siasatan penuh berhubung insiden ini sedang dijalankan dan kami tidak dapat memberi maklum balas ketika ini.
“Rakan sekerja yang terlibat mendapat sokongan sewajarnya dan kami tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai mana-mana individu,” katanya.
Dilaporkan, siasatan dilancarkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu yang berlaku pada Jumaat lalu.
Kelmarin, polis di Durham mengesahkan pesakit tersebut yang merupakan wanita berusia 50-an sudah meninggal dunia.
Katanya, situasi itu tidak dijangka dan proses bedah siasat akan dilakukan.
Berdasarkan laporan Northern Echo, pesakit itu diisytiharkan meninggal dunia dalam satu kejadian pada Jumaat lalu.
Jelas laporan, pesakit itu kemudian dibawa oleh pasukan paramedik ke hospital Memorial Darlington yang mana wanita itu didapati hidup semula.