KAHERAH: Penemuan baharu wain berusia 5,000 tahun di sebuah makam purba Mesir baru-baru ini membawa ahli arkeologi kepada kesimpulan yang mengejutkan.
Pakar percaya tapak pengebumian di Abydos di tengah Mesir sebenarnya merupakan makam Raja wanita Mesir yang dilupakan, Meret-Neith.
Suaminya, Raja Djet dan anaknya, Raja Den adalah antara pemerintah dinasti pertama Mesir purba.
Tetapi penggalian baru-baru ini menunjukkan Meret-Neith juga pernah memegang kuasa sedemikian dan bukannya sekadar menjadi Permaisuri Djet.
Dalam penggalian terbaharu di sekitar makam Meret-Neith, ahli arkeologi menemukan timbunan barangan yang hanya diberikan kepada seorang raja, termasuk ratusan balang wain bertutup, sekali gus membuktikan wanita itu adalah seorang tokoh yang berpengaruh dengan tahap kuasa luar biasa.
Balang berisi biji anggur dengan beberapa daripadanya masih terpelihara seperti keadaan asalnya juga adalah antara bukti wain tertua yang pernah ditemui di Abydos.
Penemuan itu dilakukan oleh sekumpulan ahli arkeologi yang diketuai oleh Christiana Köhler dari Universiti Vienna.
“Penggalian itu membawa maklumat baharu yang menarik tentang wanita unik ini dan sejarahnya. Prasasti yang ditemui di dalam makam menunjukkan bahawa Meret-Neith memegang beberapa jawatan penting kerajaan sekitar 3,000 tahun sebelum Masihi, termasuk peranan dalam perbendaharaan.
“Kami juga menemui banyak sisa organik, biji anggur, kristal, dan bahan seperti tartar jadi semua ini sedang dianalisis secara saintifik,” kata Kohler.
Menurut Kohler, kompleks makam Meret-Neith pertama kali ditemukan ahli arkeologi pada tahun 1900 dan dikesan dibina dalam tempoh yang lama melalui beberapa fasa kerana turut memuatkan kubur 41 orang istana serta hamba.
“Apa yang ada di sekeliling makam menunjukkan Meret-Neith mungkin pernah memerintah sebagai pemangku raja semasa zaman muda Den, tiada ratu lain pada zaman dinasti awal sebelum firaun yang memiliki begitu banyak keistimewaan diraja,” katanya.