EDINBURGH: Menteri Pertama Scotland, Humza Yousaf gagal menahan sebak hingga menitiskan air matanya ketika isterinya menceritakan keadaan keluarganya terkandas di Gaza yang dibedil berulang kali oleh tentera Israel.
Nadia El-Nakla yang merupakan rakyat Palestin mengakui dia kini sudah berputus asa apabila ibu bapanya tidak dapat melarikan diri daripada serangan udara Israel di Gaza.
Elizabeth dan Maged El-Nakla dari bandar Dundee terkandas di wilayah Palestin itu apabila kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan.
Nadia ketika menghadiri persidangan SNP memaklumkan bahawa ibu bapanya terperangkap dalam perang ketika menziarahi neneknya yang berusia 92 tahun di Gaza.
Pada permulaan persidangan yang diadakan di Aberden, Nadia menceritakan mengenai situasi konflik di Gaza.
“Tiada bekalan elektrik, air dan makanan. Kita menyaksikan serangan ke atas kemanusiaan dan saya berasa amat sedih. Gaza sedang dilenyapkan seperti sebelum ini.
“Ibu saya menyatakan Gaza dibedil roket dan bom tanpa henti sejak lapan hari lalu,” katanya.
Humza dan Nadia menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan keluarganya yang kini berada di Gaza ketika Israel melakukan serangan udara ke atas wilayah yang mempunyai lebih dua juta penduduk.
“Semasa membesar di Gaza, saya pernah melihat banyak peperangan namun tidak seperti ini.
“Ramai penduduk tidur di padang bola sepak dan tentera Israel masih menggugurkan bom di kawasan itu.
“Bilik mayat sudah penuh dan pasukan perubatan menggunakan trak ais krim untuk menempatkan mayat mangsa,” kata Nadia.