DERNA: Hampir sebulan selepas banjir melanda Derna di timur Libya, mangsa terselamat kini bergelut untuk mengatasi masalah psikologi dengan ramai masih bersedih akibat kehilangan orang tersayang terutama waris yang belum mendapat berita tentang penemuan ahli keluarga mereka.
KORBAN PSIKOLOGI
Hujan lebat akibat taufan Daniel menyebabkan dua empangan hulu pecah pada 10 September lalu, membawa banjir besar bagaikan tsunami di tengah Derna.
“Derna, hari ini, terbelah dua. Ia mencerminkan apa yang dirasai penduduknya,” kata Mayssam Hasedi yang kehilangan lebih 20 ahli keluarga dalam banjir kilat itu.
Menurut pihak berkuasa, lebih 4,000 orang maut dan ribuan lagi masih hilang di timur Libya.
Selepas berhari-hari berpaut kepada harapan mencari mangsa yang terselamat, penduduk Derna kini berputus asa melihat kedatangan berterusan mayat-mayat di laut.
“Hampir semua orang di bandar itu sedang berkabung dan menderita.
“Ada kanak-kanak yang enggan minum air kerana takut lemas.
“Ramai pesakit mengadu diganggu imbasan tragedi itu dan kebanyakannya tidak boleh tidur antara pukul 2.30 hingga 5.00 pagi, waktu sama ketika ombak maut melanda bandar itu,” kata Ketua Kecemasan Badan Amal Perubatan Doctors Without Borders, Michel-Olivier Lacharite.
Impak psikologi bencana itu juga dirasai dalam kalangan penyelamat terutamanya anggota penyelam yang ditugaskan membawa keluar ratusan mayat dari tengah lautan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan tentang keperluan kesihatan mental yang meluas selepas Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) memberi amaran tentang peningkatan ‘korban psikologi’ yang diterima mereka kebanyakannya melibatkan penduduk di lokasi terjejas teruk di bandar Derna.
Kumpulan bantuan mengerahkan pasukan perubatan di lapangan selepas bencana termasuk profesional kesihatan mental untuk bertindak balas terhadap krisis berkenaan.
“Kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Libya untuk menubuhkan unit kesihatan mental.
“Dengan seluruh kawasan kejiranan dihanyutkan dari rumah mereka, menjaga kesejahteraan mental penduduk yang terjejas mesti seiring dengan menyediakan perkhidmatan asas,” kata Pengarah IRC Libya, Elie Abouaoan.
KOMUNITI LUMPUH
Kanak-kanak yang mengalami trauma akibat perpindahan dan kehilangan tempat tinggal serta orang tersayang merupakan golongan yang perlu diberi perhatian serius.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan beberapa kejadian bunuh diri, masalah sukar tidur dan kencing malam dalam kalangan kanak-kanak terutamanya anak-anak yatim yang tinggal di tempat perlindungan selepas keluarga mereka terkorban akibat dihanyutkan banjir.
Menurut angka terbaharu Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, lebih 42,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Namun apabila perhatian kerajaan beralih kepada usaha pemulihan bandar Derna yang musnah, pakar memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak sepatutnya mengabaikan komitmen untuk membina semula semangat komuniti bandar yang hancur.
“Usaha membangunkan kembali wilayah terjejas ini perlu seiring dengan pembinaan semula mental dan sosial penduduknya yang masih trauma dan amat memerlukan sokongan jangka panjang untuk menerima serta menguruskan hidup selepas berdepan insiden terburuk ini,” kata badan itu.
Kor Perubatan Antarabangsa mengumumkan perjanjian dengan pihak berkuasa Libya bagi menyediakan bantuan perubatan dan melatih kakitangan untuk memberikan sokongan psikologi kepada penduduk Derna.
Tetapi tahap kemusnahan yang begitu meluas dengan banyak kemudahan perubatan tidak lagi dapat digunakan meninggalkan penduduk Derna tercari-cari tempat untuk mendapatkan sokongan psikologi itu.-AFP