BOSTON: Kajian terkini pakar pemakanan Universiti Harvard mendapati memakan hidangan daging merah dua kali seminggu sudah cukup untuk meningkatkan risiko menghidap penyakit diabetes jenis 2.
Beberapa kajian terdahulu menunjukkan hubungan antara pengambilan daging merah dan risiko diabetes jenis 2, tetapi penyelidikan terbaharu oleh pasukan saintis Universiti Harvard meningkatkan kepastian tentang kaitan itu.
Dalam kajian yang diterbitkan American Journal of Clinical Nutrition, penyelidik melihat data kesihatan daripada 216,695 orang menerusi Kajian Kesihatan Jururawat, Kajian Kesihatan Jururawat II, dan Kajian Susulan Profesional Kesihatan (HPFS) di AS.
Penyelidikan terbaharu itu turut menunjukkan bahawa satu daripada perkara utama yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko diabetes jenis 2 selain mengekalkan berat badan yang sihat adalah memperbaiki diet pesakit.
“Mereka yang makan paling banyak daging merah mempunyai risiko 62 peratus lebih tinggi untuk menghidapi penyakit itu berbanding individu yang makan paling sedikit.
“Penyelidikan turut menunjukkan hidangan tambahan daging merah yang diproses setiap hari dikaitkan dengan peluang 46 peratus lebih besar untuk menghidap diabetes jenis 2 manakala hidangan tambahan harian daging merah yang tidak diproses dikaitkan dengan risiko sebanyak 24 peratus,” jelas kajian itu.
Pengarang pertama kajian, Xiao Gu yang juga felo penyelidik jabatan pemakanan Harvard berkata, penemuan itu menyokong garis panduan pemakanan yang mengesyorkan untuk mengehadkan pengambilan daging merah tidak kira sama ada yang diproses atau tidak.
“Menggantikan hidangan daging dengan kekacang boleh mengurangkan risiko sebanyak 30 peratus sementara menukar kepada produk tenusu dikaitkan dengan risiko 22 peratus lebih rendah,” katanya.
Pengarang kanan kajian, Walter Willett yang juga profesor epidemiologi dan pemakanan berkata, had kira-kira satu hidangan seminggu daging merah adalah munasabah untuk individu yang ingin mengoptimumkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 400 juta orang menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit itu menjadi ancaman kesihatan yang paling pesat berkembang dengan kelazimannya meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga dekad lalu.