COLOMBO: Lima penumpang sebuah bas di ibu kota di Sri Lanka maut, hari ini, apabila pengangkutan awam dinaiki mereka itu dihempap sebatang pokok besar.
Menurut polis, sembilan lagi penumpang diselamatkan daripada insiden itu sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.
Katanya, ketika kejadian kira-kira 20 penumpang berada dalam bas terbabit sebelum pengangkutan awam itu berhenti di sebuah stesen untuk mengambil lebih ramai orang.
“Mereka yang cedera kini berada dalam keadaan stabil.
“Bas itu berhenti di stesen Kollupitiya untuk mengambil penumpang sebelum dihempap pokok.
“Malam sebelum kejadian, berlaku hujan lebat yang menyebabkan kedudukan pokok itu tidak stabil,” menurut jurucakap polis
Sehubungan itu, siasatan dijalankan terhadap majlis perbandaran sama ada wujudnya kegagalan menyelenggara pokok yang berada di sepanjang jalan di kawasan kejiranan mewah itu.
Sri Lanka menyaksikan purata kira-kira tujuh orang terbunuh di jalan raya setiap hari dengan tahun lalu seramai 2,536 orang maut dalam kemalangan jalan raya. – AFP