Lebih 7.5 tan ais di Antartika 'lenyap' - Utusan Malaysia

Lebih 7.5 tan ais di Antartika ‘lenyap’

Gunung ais mencair di Pulau Horseshoe di Antartika.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih 40 peratus lapisan ais di Antartika dilaporkan menyusut sejak 1997 dengan hampir separuh daripadanya tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Menurut pasukan saintis di Universiti Leeds, sebanyak 67 tan ais hilang di barat kawasan tersebut manakala 59 tan ditambah ke bahagian timur antara 1997 dan 2021, mengakibatkan kerugian bersih sebanyak 7.5 tan.

Pakar Pemerhatian Bumi dan ketua kajian itu, Dr. Benjamin Davison berkata, air suam di sebelah barat Antartika mencairkan banyak lapisan ais.

“Lapisan rak ais terletak di hujung glasier yang memperlahankan kadar alirannya ke laut. Apabila ia menyusut, glasier melepaskan sejumlah besar air tawar ke laut yang boleh mengganggu arus Lautan Selatan.

“Bahagian barat pula terdedah kepada air suam yang boleh menghakis rak ais dengan cepat dari bawah, manakala sebahagian besar Antartika timur kini masih dilindungi daripada air suam berdekatan oleh sekumpulan air sejuk di pantai,” jelasnya dipetik The Guardian.

Para saintis mengukur perubahan ais tahun demi tahun menggunakan satelit yang boleh melihat melalui awan tebal walaupun semasa malam kutub yang panjang.

Penyelidik meneliti lebih 100,000 imej yang diambil dari angkasa untuk menganalisis tahap lapisan ais dan menerbitkan penemuan terbaharu itu dalam jurnal Scientific Advances.

Dianggarkan 67 metrik tan air tawar yang dilepaskan ke lautan dalam tempoh 25 tahun akan menjejaskan arus lautan yang mengangkut haba dan nutrien ke seluruh dunia dengan perubahan drastik iklim bumi menjejaskan kitaran semulajadi di kawasan itu.

“Kami menjangkakan kebanyakan ais akan melalui kitaran yang cepat, mencair dalam jangka pendek tetapi kemudian tumbuh semula dengan perlahan. Sebaliknya, kini kami melihat hampir separuh daripada mereka mengecut tanpa tanda-tanda pemulihan,” jelasnya.

Bulan lalu, satu kajian mendapati Antartika berkemungkinan memanas hampir dua kali ganda kadar di seluruh dunia dan lebih cepat daripada yang diramalkan oleh model krisis iklim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN