Lebih 40 juta kanak-kanak hilang tempat tinggal angkara bencana

Lebih 40 juta kanak-kanak hilang tempat tinggal angkara bencana

BEBERAPA kanak-kanak mengambil barangan selepas rumah mereka musnah akibat banjir di Ghazni, Afghanistan pada Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bencana alam yang disebabkan cuaca akibat perubahan iklim seperti banjir, kemarau, kebakaran hutan dan taufan menyebabkan 43.1 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan tempat tinggal dalam tempoh 2016 hingga 2021.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai isu berkenaan dan mengecam kurangnya perhatian diberikan kepada golongan tersebut.

Menerusi laporan menyeluruh mengenai isu berkenaan, UNICEF memperincikan sejumlah kisah menyayat hati melibatkan kanak-kanak yang terjejas dan pengarang bersama, Laura Healy memberitahu, data itu hanya mendedahkan sebahagian kecil daripada masalah sebenar.

Daripada 43.1 juta orang itu, 95 peratus kanak-kanak kehilangan tempat tinggal disebabkan oleh bencana banjir dan ribut.

“Jumlah itu bersamaan kira-kira 20,000 perpindahan kanak-kanak setiap hari,” kata Healy, selain memberitahu golongan tersebut berisiko mengalami trauma lain seperti berpisah dengan ibu bapa atau menjadi mangsa eksploitasi.

Banjir yang dikaitkan dengan limpahan sungai boleh mencetuskan 96 juta perpindahan kanak-kanak dalam tempoh 30 tahun akan datang, manakala angin kencang siklon boleh memaksa 10.3 juta perpindahan.

Bencana ribut pula boleh menyebabkan 7.2 juta perpindahan.

“Bagi mereka yang terpaksa melarikan diri, ketakutan dan impak boleh menjadi sangat dahsyat, dengan kebimbangan sama ada mereka akan pulang ke rumah, menyambung semula sekolah, atau terpaksa berpindah lagi.

“Bergerak mungkin telah menyelamatkan nyawa mereka, tetapi ia juga sangat mengganggu,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu UNICEF menggesa pemimpin dunia mengambil berat mengenai isu itu pada sidang kemuncak iklim COP28 di Dubai pada November dan Disember.

Healy berkata kanak-kanak, termasuk mereka yang sudah terpaksa berpindah mesti bersedia untuk ‘hidup dalam dunia perubahan iklim’.

China, India dan Filipina adalah negara yang mempunyai jumlah pemindahan terbesar (hampir 23 juta dalam tempoh enam tahun) kerana populasi yang besar dan lokasi geografi selain pelan pemindahan pencegahan.

Dari segi perkadaran, Afrika dan negara pulau kecil paling berisiko dengan di Dominica, 76 peratus daripada semua kanak-kanak dipindahkan dari 2016 hingga 2021. Bagi Cuba dan Saint-Martin, angka itu lebih daripada 30 peratus. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya